Rabu, 21 Disember 2016

Singa sedia baham Penyu

ARKIB : 09/05/2000
NGAUMAN Singa Utara semakin bersemangat untuk membaham mangsa seterusnya - pasukan Penyu dalam saingan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Utama Kangar, malam ini, lapor ZAID MOHD. NOOR.

Perlis, yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Brunei di laman sendiri Sabtu lalu mahu mengulangi kejayaan itu apabila berdepan dengan Terengganu.

Bagaimanapun, skuad Penyu yang membariskan beberapa pemain berpengalaman mampu mematahkan taring Singa Utara sekiranya anak buah Tajudin Nor alpa selepas mereka mencipta dua kemenangan, dua seri serta kalah sekali.

Jurulatih Perlis, Tajudin Nor yang berbangga dengan peningkatan prestasi pemain muda Singa Utara sebenarnya masih tidak boleh menyembunyikan keresahannya pada perlawanan menentang Terengganu nanti.

Ini memandangkan prestasi anak-anak buahnya agak tidak begitu konsisten walaupun mereka beraksi di gelanggang sendiri.

''Pemain Perlis perlu berhati-hati ketika menentang Terengganu untuk mengelakkan mereka rebah di hadapan penonton sendiri.

''Perlawanan menentang Pasukan Penyu tidak boleh dipandang ringan memandangkan pasukan dari Pantai Timur itu mempunyai beberapa pemain berpengalaman,'' katanya di Kangar, semalam.

Selain itu, Tajudin agak merasa lega apabila dua pemain tunggak utama Perlis iaitu Suhairi Abd. Karim dan Mohd. Nazrudin Mohd. Zain yang digantung satu perlawanan sebelum ini kerana dilayangkan dua kad kuning kini boleh kembali beraksi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4TSmSxLu4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan