Isnin, 19 Disember 2016

Perlis ikat Selangor di Stadium Shah Alam

ARKIB : 16/04/2000
SELANGOR gagal memanfaatkan perlawanan pembukaan bola sepak Perdana Satu di gelanggang sendiri apabila hanya mampu seri 2-2 dengan Perlis di Stadium Shah Alam, semalam.

Tuan rumah berpeluang untuk mengutip tiga mata penuh apabila mendahului selesa 2-0 dengan membuka jaringan menerusi Jaafar Saleh di minit ke-33, yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol lawan, Rozman Hussain.

Selangor menambah jaringan dua minit kemudian melalui sepakan bebas pemain tengah, Nazzab Hidzan dari jarak 20 meter untuk menewaskan Rozman selepas Rusdi Suparman dijatuhkan di luar kotak penalti.

Walaupun ketinggalan 0-2, Perlis tidak berputus asa untuk mencari gol penyamaan dan usaha itu berhasil seminit sebelum perlawanan separuh masa pertama tamat melalui Paidiya Rau Azmin.

Perlawanan babak kedua bertukar menjadi lebih menarik dengan kedua-dua pasukan cuba mencuri peluang.

Perlis akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-58 apabila G. Shanmugam menanduk bola yang melantun daripada rakannya, Muhamad Khaironnisam Sahabudin.

Sementara itu, di Stadium Likas, Kota Kinabalu jaringan babak kedua menerusi Rosdee Sulong menyelamatkan Sabah tewas pada perlawanan sulung di tempat sendiri apabila seri 1-1 dengan Sarawak.

Bekas pemain kebangsaan itu menggunakan kesempatan di atas hantaran lemah pertahanan lawan, Dahlan Matusin pada minit ke-57 untuk melepaskan rembatan rendah yang gagal diselamatkan penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahed.

Sabah berada di bawah tekanan apabila pasukan pelawat mendahului sepanjang babak pertama permainan menerusi jaringan minit ke-16 oleh Mohd. Ali Sapiee.

Pemain tengah naib juara Piala Malaysia musim lalu itu bertindak baik apabila menewaskan dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan dari jarak 30 meter melewati penjaga gol tuan rumah, Mark Danum.

Sarawak yang menggandingkan Ramles Sari dan Affendi Julaihi di bahagian serangan terus mencipta beberapa peluang tetapi gagal menemui sentuhan penyudah

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TH47XDGV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan