Ahad, 11 Disember 2016

Singa Utara asah taring

ARKIB : 30/10/1999
PENGALAMAN perit apabila terlepas kedudukan terbaik mampu membangkitkan semangat kepada beberapa pasukan untuk menempa kembali kejayaan sebaik berlangsung Piala Malaysia malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Perlis yang terlepas kedudukan teratas kumpulan A untuk menghuni tempat ketiga (9 mata) akibat kekalahan 1-3 kepada Selangor mengharapkan semula kemenangan apabila menentang Negeri Sembilan di Stadium Utama, Kangar.

Bagaimanapun, bukannya mudah laluan Perlis kerana Negeri Sembilan yang dibarisi ramai tonggak skuad kebangsaan turut memerlukan kemenangan berdasarkan kedudukan satu tangga di belakang ''Singa Utara'' agak membahayakan.

Terengganu yang mendahului dengan 12 mata pasti mahu mengekalkan kedudukan teratas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tetapi lawannya kali ini tetap hebat iaitu penghuni tempat kedua Pulau Pinang yang dibarisi pemenang kasut emas Azman Adnan.

Begitu juga dua pasukan terbawah, skuad ''kontroversi'' Perak (7 mata) dan Selangor (8 mata) bakal berdepan untuk menentukan tempat terbaik setelah masing-masing melalui enam perlawanan yang tidak menjanjikan kejayaan.

Dalam kumpulan B, pendahulu carta, Pahang (12 mata) tetap menyandarkan harapan kepada Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail apabila berdepan penghuni tangga tercorot Kuala Lumpur (5 mata) di Stadium Darulmakmur.

Di sebalik keghairahan pasukan teratas, jangan lupa Brunei di tangga kedua (11 mata) tetap memberikan cabaran hebat kepada penghuni tempat keempat (9 mata) di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Jiran kedua-dua pasukan itu, Sarawak pula tetap mengekori di tangga ketiga (10 mata) yang menyaksikan pertemuannya dengan skuad dua tangga terbawah, Johor di Bumi Kenyalang cukup menarik.

Daripada kedudukan pasukan bertanding, kesemuanya tidak akan melepaskan peluang untuk beraksi dengan baik kerana kesilapan cukup merugikan kerana terpaksa berdepan tugas lebih sukar.

Jelas, persaingan masih terbuka tetapi kemenangan malam ini penting untuk melonjak kedudukan atau terhumban ke kelompok terbawah yang bakal menghalang hajat ke peringkat lebih mencabar dalam Piala Malaysia.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SXWJqQH4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan