Khamis, 8 Disember 2016

Perlis antara terselamat

ARKIB : 16/09/1999
TERSELAMAT mungkin ungkapan paling sesuai hasil titik peluh play-off Brunei, Perlis, Perak dan Terengganu yang mara ke pertandingan berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia ke-33 kelmarin.

Terselamat bagi Perak dan Terengganu ialah reputasi mereka selaku juara bertahan dan naib juara musim lalu yang masih boleh dipertahankan apabila bersama dalam kumpulan A Piala Malaysia.

Seakan ada badi keserasian sejak perlawanan akhir di Bukit Jalil tahun lalu, siri pertemuan play-off kedua-duanya akan menemui babak sambungan dalam dua perlawanan timbal balik Piala Malaysia pula.

Buat Perlis, terselamat memang tepat buatnya kerana dua faktor - kemaraan kelmarin menjamin keanggotannya dalam Perdana Satu musim depan setelah puas menebal muka di hadapan penyokong selaku pasukan Perdana Dua musim ini.

Faktor lain ialah sedikit laluan selesa menanti Singa Utara setelah menyertai kumpulan A bersama-sama Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Daripada Perlis sengaja menghulur leher sendiri, inilah kumpulan yang lebih mudah berbanding 'kumpulan maut' B yang memiliki tiga juara - Pahang (Perdana Satu), Johor (Perdana Dua) dan Kuala Lumpur (Piala FA).

Agak menghampakan ialah cara Perlis memilih menyertai kumpulan A apabila rela dibolosi lima gol oleh Brunei di Bandar Seri Begawan kelmarin.

Namun, akibat tindakan terburu-buru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melangsungkan undian Piala Malaysia Ahad lalu, keputusan yang seperti sengaja dicipta ini sudah dianggap mencemarkan semangat persaingan kesukanan sejati.

Tanpa pilihan lain, Brunei yang bermain demi maruah depan ribuan penyokong, terpaksa melengkapkan 'Gandingan Borneo' bersama Sabah dan Sarawak dalam kumpulan B Piala Malaysia.

Bagi Brunei yang cuma menentukan juara play-off kelmarin setelah layak lebih awal Sabtu lalu, kemaraannya ke Piala Malaysia turut dianggap terselamat.

Satu ketika pasukan luar negara tunggal ini pernah berura-ura untuk menarik diri daripada Liga Perdana musim depan sekiranya terlontar ke Perdana Dua akibat gagal melepasi play-off.

Kutipan tiket berkurangan dijadikan alasannya apatah lagi tarikan penyokong ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah atau Stadium Berakas sudah pasti hilang akibat status pasukan Perdana Dua itu.

Ia diperkuatkan dengan keputusan mesyuarat majlis FAM bulan lalu yang menambah dua lagi pasukan bertaraf kelab daripada Piala FAM untuk menyertai Perdana Dua musim depan.

Bagi pasukan yang turut bertaraf antarabangsa, menentang lawan seperti itu sukar diterima, tetapi mujurlah kemenangan ke atas Kelantan minggu lalu dan pesta gol kelmarin, berjaya mempertahankan Brunei di persada bola sepak Malaysia.

Apa pun, play-off turut memberikan kelebihan kepada empat pasukan terbaiknya dari segi stamina pasukan jika dibandingkan pasukan yang layak ke Piala Malaysia menerusi saingan Perdana Satu musim ini.

Keaktifan Terengganu, Perak, Brunei dan Perlis dalam play-off bakal menuntut Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah, Johor dan Selangor agar cepat bingkas daripada rehat panjang hampir dua bulan akibat Sukan SEA.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SGIchMLQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan