Rabu, 21 Disember 2016

Perlis melonjak tempat ketiga

ARKIB : 10/05/2000
GELANGGANG sendiri terus membakar semangat Perlis untuk terus mencipta kemenangan apabila menewaskan Terengganu 2-0 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Utama, Kangar, semalam.

Kemenangan itu juga memastikan kedudukan Perlis melonjak dari tempat ketujuh ke tangga ketiga Perdana Satu selepas mengumpul jumlah keseluruhan 11 mata.

Ini adalah kemenangan ketiga berturut-turut di gelanggang sendiri selepas menewaskan Sabah 2-1 dan Brunei 2-0 dalam perlawanan terdahulu.

Di hadapan penyokong setianya, Perlis memperoleh jaringan menerusi Rozmin Musa pada minit ke-50 dan Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-73.

Seawal babak pertama agak menyukarkan kedua-dua pasukan untuk mengatur gerakan kerana padang yang licin akibat hujan lebat memaksa pemain terpaksa berhati-hati.

Tujuh belas minit berlangsung, tidak ada sebarang percubaan menarik dapat dilakukan oleh tuan rumah dan pasukan pelawat walaupun pemain masing-masing berjaya membuat hantaran tetapi bola seringkali tersekat di dalam air yang bertakung.

Kegagalan mencari jaringan dalam babak pertama menyaksikan Perlis bangkit memberikan saingan lebih sengit kepada pasukan pelawat sehingga membuahkan hasil.

Dalam satu serangan pantas, benteng pertahanan Terengganu melakukan kesilapan apabila sepakan seorang daripada tonggaknya berjaya disambar pemain Perlis, Rozmin Musa yang terus merembat masuk menewaskan penjaga gawang Zubir Ibrahim pada minit ke-50.

Bagi menambah lagi parah Terengganu, G. Shammugam mengatur gerakan cantik apabila memastikan hantarannya tidak disia- siakan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid yang menyepak masuk jaringan minit ke-73.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TSrab9eh © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan