Ahad, 18 Mac 2018

Perlis kekal dipuncak


 
ARKIB : 05/04/2009
Pemain Perlis, Amzar Junaidi Abd. Jalil (kanan) dihalang oleh pemain KL Plus, Muhamad Raiesam Othman pada perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam. - MINGGUAN/Faizal Abu Hassan

KUALA LUMPUR - Perlis masih menikmati bulan madu pertama mereka di puncak Liga Super musim ini dengan membenam KL Plus 2-1 di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam.

Walaupun ketinggalan di babak pertama menerusi jaringan Amir Shahreen (m-27), Perlis bangkit dengan dua gol di babak kedua menerusi Nizaruddin Yusof (m-57) dan Mohd. Fakri Saarani (m-61) untuk mencipta kemenangan kelapan daripada 11 perlawanan musim ini.

Mengekori rapat ialah pasukan Selangor yang membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 5-1 di Stadium Shah Alam untuk kekal di tangga kedua liga.

Ini diikuti Kelantan yang menewaskan Kedah 2-1 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Seperti juga Perlis, Kelantan lebih dulu ketinggalan menerusi penalti Baddrol Bakhtiar (m-39) sebelum membalas dua gol dalam masa empat minit menerusi Norfarhan Mohamad (m-61) dan Khalid Jamlus (m-65).

Selangor dan Kelantan kini ketinggalan satu mata sahaja di belakang Perlis yang kekal mengungguli liga dengan 25 mata.

Negeri Sembilan turut mencatat kemenangan selepas membenam Kuala Muda Naza 3-1 pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua gol menerusi Mohd. Firdaus Azizul (m-3, 53) dan Shahurain Abu Samah (m-21) membolehkan Negeri Sembilan mengumpul 23 mata.

Perak pula menewaskan Pahang 2-0 pada perlawanan di Stadium Perak yang dicemari dengan layangan dua kad merah.

Sementara itu, Pulau Pinang tewas lagi di tempat sendiri kali ini kepada Terengganu 2-3 di Stadium Bandaraya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5A7DJJ5uQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan