Sabtu, 9 September 2017

Perlis juara Sumbangsih



 
ARKIB : 17/12/2006
Barisan pemain dan pegawai pasukan Perlis bergembira dengan trofi Piala Sultan Ahmad Shah selepas memenangi perlawanan Sumbangsih menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Utama, Kangar, malam tadi.

KUALA LUMPUR - Juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis dinobatkan selaku juara perlawanan Sumbangsih dan mendakap Piala Sultan Ahmad Shah apabila menewaskan juara Piala FA, Pahang 2-1 dalam aksi pembuka tirai kempen Liga Super musim 2006/ 2007.

Kemenangan buat Perlis menebus kehampaan mereka apabila dikecewakan oleh Perak pada perlawanan pembuka tirai musim 2005/2006.

Di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuaku Syed Putra Jamalullail, skuad Singa Utara beraksi cemerlang apabila membuka jaringan menerusi Azlan Ismail pada minit ke-14.

Gol dihasilkan daripada hantaran Mohd. Hardi Ahmad tepat ke arah Azlan yang membuat rembatan leret menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi.

Kedudukan skuad Singa Utara terus kukuh apabila gol kedua dicipta minit ke-50 menerusi ketua pasukan Mohd. Fauzi Nan.

Jaringan tercipta apabila berlaku keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Pahang dan Mohd. Fauzi terus merembat masuk.

Pahang bangkit merapatkan jurang menerusi pemain gantian Mohd. Rashid Mamud pada minit ke-59.

Berlaku sedikit kekecohan pada minit-minit terakhir perlawanan hendak ditamatkan apabila pengadil membatalkan gol penyamaan Pahang.

Selain meraih Piala Sultan Ahmad Shah, kemenangan Perlis turut diserikan apabila ketua pasukannya, Mohd. Fauzi dianugerahkan Pemain Terbaik perlawanan tersebut.

Di Stadium Perak, juara Piala Sumbangsih musim 2005/2006, Perak berjaya mengutip tiga mata penuh apabila menewaskan Sarawak 2-1.

Gol Perak dijaringkan oleh Keita Mandjou pada minit ke-35 dan Trarore Abdoulaye pula di minit ke-72 manakala gol tunggal Sarawak dijaringkan oleh Zulmizan Bujang pada minit ke-56.

Di Stadium Shah Alam, tanpa bintang import Selangor berupaya mencipta kemenangan sulung apabila menewaskan Melaka 1-0.

Gol tunggal jaringan bekas pemain kebangsaan, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-76 sudah cukup memastikan skuad Merah Kuning mengutip tiga mata berharga.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang gagal menggunakan kesempatan bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 0-0 bertemu Telekom Melaka.

Di Stadium Pasir Gudang, tuan rumah Johor FC hanya mampu seri 0-0 bertemu naib juara Piala Malaysia musim lalu NS Naza.

Di Stadium Darulaman, wakil Brunei DPMM FC berjaya mengalahkan Kedah 2-1.

DPMM FC membuka tirai jaringan pertama menerusi Hardi Anak Buang pada minit ke-50 namun Kedah bangkit bertindak cemerlang untuk mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Shafiq Jamal pada minit ke-78.

Bagaimanapun dua minit sebelum tamat DPMM FC berjaya menjaringkan gol kemenangan menerusi Fadlin Galawat untuk mengutip tiga mata penuh.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sFrxMEfB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan