Sabtu, 16 September 2017

Perlis makin ampuh, Terengganu selesa



ARKIB : 15/02/2007
Penyerang Perlis, Francis Kombe (kiri) berjaya melepasi dua pemain Johor, Wan Rohaimi Wan Ismail (tengah) dan Khairul Khalid Masrom dalam saingan Liga Super di Stadium Utama Kangar, malam tadi. – Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.

KUALA LUMPUR – Azlan Ismail muncul hero apabila jaringannya membantu Perlis menewaskan Johor FC 2-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Utama Kangar, semalam.

Kemenangan itu memastikan Perlis masih kekal selaku pendahulu Liga Super apabila memungut 20 mata daripada lapan perlawanan.

Azlan tampil dengan jaringan menarik lima minit sebelum tamat ketika kedudukan buat kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Skuad Singa Utara meledakkan jaringan pembukaan menerusi Francis Kombe pada minit ke-45 sebelum pemain Johor FC, Walter Ariel Silva menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

Di Stadium Darul Makmur, bekas penyerang kebangsaan Muhammad Khalid Jamlus menemui kembali sentuhan jaringan apabila dua jaringannya membantu Perak menewaskan Pahang 2-1.

Selepas ketandusan jaringan dalam beberapa perlawanan Liga Super, Muhamad Khalid meledakkan dua jaringan pada minit ke-45 dan 66 yang sudah cukup menjamin tiga mata penuh Perak.

Gol saguhati tuan rumah dijaringkan oleh Mohamad Kamal Rodiarjat seawal minit ke-10.

Di Stadium Hang Jebat, Terengganu bertindak cemerlang apabila mudah menewaskan Melaka 3-1.

Dikejutkan gol awal Melaka pada minit ke-54 menerusi Padrick Volf, Terengganu tangkas bangkit memadamkan kelebihan tersebut.

Pada minit ke-59, Md. Ashaari Sharuddin mengikat kedudukan 1-1 sebelum dua gol lagi disumbangkan oleh Sharlei Lins Miranda (m-67) dan Md. Nor Farhan (m-70).

Di Stadium Shah Alam, Selangor mengalami kekalahan keempat musim ini apabila tunduk 2-0 kepada Kedah.

Kehadiran ketua pasukan Muhammad Shukor Adan dan Fadzli Saari tidak mampu mengekang Kedah daripada pulang membawa tiga mata penuh.

Ahmad Fauzi Saari meletakan Kedah di depan menerusi jaringan menarik seawal minit ke-10 sebelum Hasmawi Hassan mengukuhkan kedudukan dengan jaringannya pada minit ke-76.

Di Stadium MBPJ Kelana Jaya, Telekom Melaka berjaya mengukir kemenangan manis apabila menewaskan pasukan tercorot Sarawak 2-1.

Bagaimanapun, Sarawak mengejutkan tuan rumah Telekom Melaka dengan jaringan awal pada minit ke-19 menerusi Joseph Kallang namun Badrul Azam Zamri tangkas menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan pada minit ke-45.

Giliran Telekom Melaka berada di depan apabila ketua pasukan Mohd. Hardi Jaafar menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-71 untuk membolehkan tuan rumah mendahului 2-1.

Di Stadium Negara Hasanal Bolkiah, Brunei terus mengukuhkan kedudukan untuk mencabar Perlis apabila membelasah Negeri Sembilan 5-1.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4srRXEA92
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan