Jumaat, 19 Januari 2018

Perlis ada kualiti tersendiri

ARKIB : 09/03/2009
Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
hafiz.aziz@utusan.com.my
SHAH ALAM - Musim ini, pasukan Selangor begitu mengujakan, malah berpotensi besar untuk menjulang kejuaraan bola sepak Liga Malaysia.

Sesudah membenam Kelantan 3-0 dalam kancah Liga Super sebelum ini, Red Giants pintar menjinakkan skuad Seladang 2-0 untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala FA.

Lawannya pada separuh akhir ialah pasukan Singa Utara yang ternyata bukan tandingan Harimau Muda apabila tewas dengan agregat 1-0.

Jurulatih Selangor, K. Devan ketika ditemui berkata, beliau menjangkakan perlawanan sengit pada pertemuan separuh akhir nanti.

''Saya tidak menolak Perlis sebuah pasukan yang begitu berkualiti dan mereka begitu berpengalaman. Saya pasti mereka sudah tentu bersedia menentang Red Giants nanti.

''Saya menjangkakan permainan pasti sengit kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri dan pasti penonton tidak mampu menjangka awal keputusan itu,

Devan yang serius dengan pandangan itu memberitahu, peluang untuk menang seterusnya mara ke peringkat akhir adalah 50-50.

''Saya tidak berani jamin tetapi Selangor sudah bersedia dan yakin mampu untuk bersaing dengan Singa Utara,'' katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Perak, kelmarin.

Ditanya tentang persembahan malam kelmarin, Devan menarik senyuman, malah ternyata berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya.

''Saya anggap ia satu penyudah yang baik kerana gol dijaringkan pada peringkat akhir.

''Prestasi pemain begitu baik dan konsisten walaupun pertahanan lawan sukar untuk dibolos dan saya harap pemain-pemain akan meningkatkan usaha.

Pada perlawanan, kelmarin, tandukan C. Premnath dan Rudie Ramli memastikan Selangor melangkah dengan agregat 4-1 setelah turut menumpaskan Seladang 2-1 dalam pertemuan pertama di Ipoh, Selasa lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz54eCkhSR2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan