Rabu, 29 November 2017

Irfan gembira dalam resah

ARKIB : 04/08/2008
KUALA LUMPUR - Kemenangan 2-1 ke atas pasukan Johor PBT dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia semalam memberi kegembiraan bermakna buat jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim.

Menurutnya, dia amat berpuas hati dengan persembahan yang diberikan oleh pemainnya walaupun mereka agak keletihan menempuhi perjalanan jauh dan jadual yang padat.

''Semua pemain saya bermain baik tetapi yang meresahkan saya ialah persembahan penyerang import Phillimon Chipeta yang mungkin ada kaitan dengan penarikan balik penggunaan pemain import musim depan,'' kata Irfan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, pemain lain masih lagi mempamerkan permainan cemerlang walaupun mereka menyedari sudah layak ke peringkat suku akhir.

''Saya masih lagi menurunkan pemain kesebelasan utama dan ternyata mereka masih lagi mempunyai fokus serta komited di dalam perlawanan terakhir semalam.

''Saya tidak mahu mengganggu konsentrasi dan konsistensi pemain yang mendapat rentak sejak perlawanan bertemu Angkatan Tentara Malaysia (ATM) di Kangar sebelum ini,'' kata Irfan.

Dalam pada itu Irfan masih lagi belum berpuas hati dengan keadaan jadual yang padat dan baginya ia agak mengganggu prestasi pemain untuk menghabiskan kempen bola sepak musim ini.

''Selepas perlawanan semalam kami perlu menunggu dahulu keputusan lain dan apabila sudah mengetahui akan bertemu Terengganu di peringkat suku akhir kami terus ke sana untuk perlawanan pusingan pertama.

''Bayangkan bagaimana keadaan pemain yang datang jauh ke Johor dan terpaksa bertolak pula ke Terengganu selepas perlawanan,'' kata Irfan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zrdBDBNg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan