Sabtu, 18 November 2017

Piala FA: Perlis tersingkir awal



ARKIB : 05/03/2008

PEMAIN NS Naza, Shahurin Abu Samah (atas) melompat selepas dibentes pertahanan Johor, Mohd. Tuah Iskandar pada pertemuan Piala FA di Stadium Larkin, Johor Bahru, semalam. Kedudukan terikat 1-1 namun NS Naza mara menerusi peraturan gol tempat lawan. – Gambar NOORADZRENE MOHD. NOOR.

KUALA LUMPUR – Naib juara Piala FA musim lalu, Perlis tersingkir daripada saingan apabila tewas 0-3 kepada pendahulu Liga Perdana, KL Plus pada perlawanan kedua pusingan pertama di Stadium KLFA Cheras, semalam.

Keputusan itu membolehkan KL Plus mara ke pusingan kedua menerusi kemenangan agregat 5-2 selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 pada perlawanan pertama di Kangar pada 19 Februari lalu.

Ketiga-tiga gol KL Plus semalam dijaringkan pemain import mereka iaitu Tercio Nunez Macado (m-33, 64) dan Dario Trinidad (m-80).

Juara bertahan, Kedah pula tewas mengejut 0-2 kepada PKNS di Stadium Darul Aman tetapi tetap mara menerusi kemenangan agregat 5-4.

Gol-gol PKNS dijaringkan Tengku Mohd. Adam (m-10) dan Mohizam Shah Dawood (m-38).

Sebelum ini pada perlawanan pertama di tempat lawan, Kedah menang 5-2.

Perak juga mara apabila bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Johor FC pada perlawanan pertama lalu dengan menang 3-0 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Gol kemenangan Perak yang mara menerusi agregat 3-2 itu dijaringkan Khalid Jamlus (m-90).

Terdahulu Ahmad Shahrul Azhar (m-44) dan Shahrunizam Mustapha (m-62) menyamakan kedudukan.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru, Negeri Sembilan Naza bernasib baik dapat mara ke pusingan kedua menerusi peraturan gol di tempat lawan walaupun hanya seri 1-1 dengan Johor.

Mohd. Zaquan Adha Razak menjaringkan gol penting buat NS Naza pada minit ke-85 untuk menafikan gol pendahuluan pasukan tuan rumah yang dijaringkan Othelo Ocampos (m-66).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula muncul pasukan yang mencatat kemenangan terbesar apabila menang menerusi agregat 11-1 ke atas Kor RAMD.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ymyFNkMT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan