Isnin, 20 November 2017

Perlis intai Farderin

ARKIB : 15/04/2008
KUALA LUMPUR - Selepas mendapatkan pemain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Azlan Ismail sebagai pemain pinjaman, Perlis berhasrat untuk mendapatkan dua orang lagi pemain lain daripada pasukan kelab juga secara pinjaman bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.
Menurut jurulatih Perlis, Irfan Bakti, salah seorang pemain yang menambat hatinya ialah penyerang Kuala Muda Naza yang juga bekas penyerang kebangsaan, Farderin Kadir untuk memantapkan lagi jentera serangan pasukannya.
''Setakat ini kita masih lagi belum membuat keputusan muktamad dan kedua-dua belah pihak masih belum menetapkan persetujuan tetapi dia (Farderin) adalah salah-seorang pemain yang dicadangkan untuk dibawa masuk melalui proses pinjaman pemain,'' kata Irfan ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, proses pinjaman pemain ini dibuat bagi mengelak sebarang masalah jika berlaku kecederaan.
''Sebelum saya mengambil alih pasukan ini (Perlis) ramai pemain yang bergelut dengan masalah kecederaan dan terdapat pemain yang berada di bawah tahap sebenar.
Memilih''Ia seterusnya memberikan masalah kepada saya untuk memilih pemain yang betul-betul berkualiti untuk mengisi kekosongan itu dan bagi mengelak perkara ini berlaku dalam saingan Piala Malaysia pemain daripada kelab luar amat diperlukan,'' kata Irfan.
Ditanya mengenai kebangkitan pasukan Perlis selepas mencatatkan kemenangan pertama sejak dari bulan Februari lalu, Irfan menjelaskan pemain sudah mula mempamerkan peningkatan ketika perlawanan bertemu Terengganu 6 April lalu.
''Ketika seri 1-1 dengan Terengganu saya sudah lihat pasukan saya mula menunjukkan permainan yang baik berbanding sebelum ini dan saat inilah yang ditunggu-tunggu oleh pihak pengurusan dan para penyokong Perlis.
''Kami berharap dengan kemasukan pemain baru nanti pasukan akan bertambah mantap dan mungkin dalam perlawanan menentang Pahang Sabtu ini Azlan (Ismail) akan diturunkan,'' katanya.
Sementara itu, Irfan masih belum berpuas hati dengan tahap pemain import baru Perlis dari Argentina, Gustavo Chena kerana pemain itu masih mempamerkan permainan yang 'lembut'.
''Dia (Chena) mempunyai hantaran yang cantik dan mempunyai wawasan yang tinggi tetapi sebagai seorang pemain tengah dia perlu lebih keras serta mampu untuk mengkucar-kacir pertahanan lawan," ujarnya.
''Saya tidak mahu dia hanya bekerja ketika bola berada di kaki sahaja tetapi dia perlu bekerja walaupun bola di kaki pemain lain,'' tegas Irfan.
Dalam perlawanan Liga Super menentang PDRM, Sabtu lalu pasukan Singa Utara itu menang 4-0 dan Chena menjaringkan gol pertama buat dirinya untuk pasukan Perlis pada minit ke-12.
Pemain import tersebut pernah bermain di Liga Indonesia bersama kelab Persija Jakarta (2003-2005), Persebaya Surabaya (2006) dan PSMS Medan (2007-2008).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan