ARKIB : 16/11/2007
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KANGAR Tonggak utama, Phillimon
Chipeta adalah antara lapan pemain lama dikekalkan dalam pasukan Singa Utara
bagi musim baru Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula minggu ini.
Selain itu, sebanyak 18 lagi
pemain menjadi anggota baru manakala dua bekas pemain dimasukkan semula untuk
memantapkan lagi pasukan Singa Utara dalam berdepan dengan musim baru bermula
Sabtu ini.
Seorang lagi pemain import yang
dikekalkan ialah Kabwe Kamuzati.
Menyertai Kamuzati pada musim
baru ialah Mohd. Fauzi Nan, Mohd. Reithuddin Emran, Mohamad Khairul Anuar
Ramli, Azi Shahril, Mohd. Ridzuan Othman dan Azmizi Azmi.
Dua bekas pemain yang beraksi
semula ke dalam pasukan Perlis adalah pemain yang pernah mencetuskan
kontroversi berhubung kos perpindahannya satu ketika dahulu iaitu Yusri Che Lah
serta Es Lizuan Zahid Amir.
Barisan pemain Singa Utara kali
ini dilihat cukup segar dan mantap untuk merampas kembali Piala Malaysia, Piala
FA dan kejuaraan Liga Super dengan kebanyakannya adalah pemain muda.
Mereka antara lain adalah Amar
Rohidan, Rohisham Che Idrus dan Mohd. Hafis Mohd. Fauzi.
Membantu
Kemasukan K. Soley, bekas
pemain Kedah, juga diharap akan dapat membantu Perlis mengaut mata kemenangan
pertama menentang Kedah pada perlawanan Piala Sumbangsih Piala Sultan Ahmad
Shah, Ahad ini.
Ia akan membuka tirai kempen
Liga Malaysia musim 2007/08.
Kesemua mereka sah menjadi keluarga
Singa Utara selepas menandatangani kontrak pemain pada satu majlis yang
diadakan, semalam.
Majlis menandatangani kontrak
itu disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri
Shahidan Kassim yang juga Menteri Besar Perlis.
Shahidan pada sidang akhbar,
semalam menjelaskan bahawa PFA juga sedang mencari seorang lagi pemain import
untuk digandingkan bersama Kamuzati dan Chipeta selepas pihaknya menggugurkan
penyerang berbisa, zacharia Simukonda.
Barisan kali ini nampak muda
dan kita berharap akan menjadi pasukan terkuat untuk merampas semula semua
piala nanti.
Namun apa yang penting, semua
pemain perlu ada semangat juang yang tinggi, katanya.
Sementara itu, pada majlis yang
sama, PFA turut menandatangani perjanjian bersama Kika (M) Sdn. Bhd. yang akan
menaja kelengkapan sukan termasuk jersi kepada pemain Singa Utara.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4vpJKi9BE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan