Isnin, 27 November 2017

Perlis tambah garang

ARKIB : 0
KANGAR - Perlis membuka semula persaingan dalam kancah bola sepak Piala Malaysia apabila mencatat kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Utama Negeri di sini, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.Namun perlawanan tercalar sedikit selepas Ketua Pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azahar dibuang padang ekoran mengasari pemain Perlis, K. Soley pada minit-minit terakhir perlawanan.

Kesempatan itu diambil oleh penyerang Perlis kelahiran Melaka, Farderin Kadir yang mendapat umpanan Mohd. Redzuan Othman untuk melenyapkan harapan Perak bagi gol ketiga Singa Utara.

Tekad Perlis untuk meraih kemenangan pada aksi kelimanya terpancar seawal minit kedua permainan menerusi gol pembukaan hasil sepakan penalti pemain import dari Argentina, Chena Gustavo Roberto.

Pertahanan import Perak, Mario Estaban bagaimanapun menyamakan kedudukan buat pasukan pelawat 10 minit kemudian sebelum Farderin melegakan kem skuad bimbingan Irfan Bakti dengan gol kemenangan lima minit sebelum rehat.

Ia adalah kemenangan ketiga Perlis di peringkat kumpulan yang meletakkan Singa Utara itu di tangga kedua Kumpulan C dengan 10 mata di bawah pendahulu, UPB-MyTeam yang mengumpul 12 mata selepas lima perlawanan.

Perak kekal di tangga keempat dengan enam mata di bawah Pahang yang mengumpul tujuh mata.

Gol pertama tuan rumah diperoleh selepas pemain pertahanan, Azi Shahril Azmi dijatuhkan dalam kotak penalti. Roberto terpaksa mengambil sepakan penalti itu dua kali selepas sepakan pertamanya yang menerjah jaring dibatalkan oleh pengadil, Subkhidin Mohd. Salleh kerana penjaga gol, Mohd. Hamsani Ahmad belum bersedia.

Bagaimanapun, Roberto tenang mengambil sepakan kali kedua yang sekali lagi menerjah jaring menewaskan Hamsani untuk menceriakan kira-kira 4,000 penyokong Perlis.

Ketika Perlis mengasak untuk menggandakan jaringan, Perak mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan menerusi sepakan percuma Estaban.

Gol itu menaikkan semangat pasukan Steve Darby yang kembali menyusun gerakan dan memperkemaskan benteng dalam mengekang asakan tuan rumah.

Namun larian solo Farderin dari tengah padang mengubah kedudukan apabila penyerang itu berjaya melepasi Chan Wing Hong dan memperdayakan Hamsani sebelum menolak bola masuk untuk gol kedua Perlis.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zdfTZgXa

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan