Rabu, 3 Mei 2017

Adrien anggap kejayaan manis

ARKIB : 06/12/2004
PEMAIN Terbaik Piala Malaysia 2004, Adrien Jurad Chamrong menyifatkan kejayaan Perlis menewaskan Kedah 1-0 dalam perlawanan akhir kelmarin suatu kenangan manis baginya sejak beraksi bersama Singa Utara mulai musim 2002.
Pemain pertahanan berketurunan Siam itu yang merupakan anak kelahiran Jitra, Kedah juga tidak menyangka lontaran jauh yang dilakukannya pada minit ketujuh berjaya menghasilkan gol yang membolehkan Perlis muncul sebagai juara kali pertama sejak 83 tahun lalu.
Lontaran jauh yang dilakukan Jurad Chamrong itu cuba ditangkap oleh penjaga gol yang juga ketua pasukan Kedah, Megat Amir Faizal tetapi gagal menyebabkan bola itu masuk ke gawang gol sendiri.
``Inilah yang dikatakan nasib tetapi saya seharusnya menjadi antara pemain Perlis yang paling gembira kerana gol tersebut menyebabkan Perlis muncul juara Piala Malaysia musim ini,'' katanya kepada Sukan Utusan semalam.
Pemain berusia 27 tahun itu yang dilahirkan pada 1 November 1977 adalah antara wira-wira Singa Utara yang disambut ribuan penyokong biru kuning selepas menjulang Piala Malaysia kelmarin di sempadan Perlis-Kedah di Ulu Pauh, semalam.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Shah petang semalam sebelum diarak dari Ulu Pauh ke Bangunan Setiausaha Kerajaan negeri Perlis di Kangar sambil membawa Piala Malaysia ke negeri ini.
Jurad Chamrong pernah beraksi untuk skuad Kenari selama tiga musim pada tahun 1999 hingga 2001.
Pemain ini juga pernah menjaringkan gol melalui cara yang sama, iaitu melakukan lontaran jauh sehingga masuk ke gawang lawan sewaktu Perlis menewaskan Johor FC, 2-1 dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Utama Kangar, pada 18 September lalu.
Dalam perlawanan itu, lontaran jauh beliau yang menuju ke arah pintu gol cuba ditanduk oleh pemain Johor FC, Henry Saimpon namun ia termasuk ke dalam gawang sendiri.
``Tiada sebarang apa yang menarik sewaktu membuat lontaran itu, saya cuma melontar dan berharap ia sampai kepada rakan-rakan lain yang menunggu di pintu gol lawan, saya sendiri tidak menyangka ia muntah dari tangkapan penjaga gol Kedah.
``Apa pun, saya anggap gol tunggal yang membantu Perlis menang dalam perlawanan akhir semalam lebih kepada nasib,'' jelasnya ketika menceritakan detik-detik gol tunggal itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan