Selasa, 23 Mei 2017

Aksi Perlis, P. Pinang jadi tumpuan



ARKIB : 19/02/2005

KUALA LUMPUR - Pertemuan dua pasukan utara, Pulau Pinang dan Perlis di Stadium Bandaraya harus menjadi bualan utama apabila aksi bola sepak Liga Super diteruskan malam ini.

Sebarang keputusan daripada pertembungan dua pasukan teratas itu bakal menentukan siapa sebenarnya yang berhak menguasai carta liga.

Sama ada Pulau Pinang melebarkan kedudukan tangga teratas, atau Perlis merampas takhta yang dikuasai skuad Harimau Kumbang sejak empat minggu lepas, malam ini adalah jawapannya.

Dua mata memisahkan kedua-dua pasukan. Pulau Pinang berbangga dengan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan untuk mengumpul maksimum 12 mata.

Perlis bagaimanapun sedikit tercalar biarpun belum tewas, hanya seri sekali dan boleh bermegah dengan 10 mata.

Kejayaan menumbangkan Perak 1-0 minggu lepas memberikan satu lagi suntikan semangat buat barisan anak buah Norizan Bakar untuk mengekalkan rekod baik mereka.

Norizan harus tidak meminta keputusan lain selain daripada kemenangan untuk menjarakkan diri dengan pasukan saingan, atau setidak-tidaknya mencuri satu mata daripada Perlis.

Begitupun, Norizan berdepan kesukaran di bahagian depan dengan ketiadaan penjaring gol ke atas Perak minggu lepas, Jose Barreto yang digantung perlawanan.

Pasukan kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim pula dikhabarkan sudah bersedia untuk mencalarkan rekod cemerlang Pulau Pinang.

``Pulau Pinang akan tumbang di gelanggang sendiri malam ini,'' mungkin itu bisik hati Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bakal bersama penyokong setia skuad Singa Utara ke Stadium Bandaraya untuk menyaksikan perlawanan itu.

Memori manis menumbangkan pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Pahang minggu lepas tanpa barisan pemain utama, pasti mahu diulangi.

Perlis dilaporkan bakal menurunkan barisan yang sama malam ini tanpa pemain tonggak, Yusri Che Lah, Adrien Jurad Chamrong dan Rosle Md. Derus.

Yang jelas, ia menunjukkan bahawa Perlis amat mengimpikan gelaran Liga Super, untuk menambah koleksi trofi kemenangan selepas menjulang Piala Malaysia musim lepas.

Paling menarik dalam pertembungan ini tentulah bagaimana percaturan Norizan, yang membawa Perlis menjulang Piala Malaysia musim lalu, dengan Abdul Rahman yang mengendali bekas anak buah Norizan.

Dalam aksi lain, Pahang dijangka bangkit daripada igauan buruk tewas dua kali berturut-turut apabila menentang Public Bank di Shah Alam.

Pasukan tangga ketiga, Telekom Melaka pasti mahu terus mengekori rapat dua pasukan teratas, tidak harus kehilangan tiga mata apabila melayan kunjungan Sabah di Stadium Hang Jebat.

Perak juga dijangka meraih mata penuh di Ipoh daripada juara Piala Malaysia dua musim lepas, MPPJ yang belum mencatat sebarang kemenangan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4huhP296x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan