Selasa, 2 Mei 2017

Perlis jadi pasukan pilihan

ARKIB : 02/12/2004
BERDASARKAN pencapaian di atas kertas sepanjang musim ini, Perlis memang dianggap sebagai pasukan favourite untuk menjulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir menentang Kedah, 4 Disember ini.
Dengan rekod lima perlawanan terakhir menentang Kedah sepanjang musim yang kesemuanya memihak kepada Perlis, tidak keterlaluan dikatakan Singa Utara berpeluang besar untuk bergelar juara.
Sepanjang pertemuan musim ini, Perlis meledakkan 17 gol ke gawang Kedah sedangkan skuad Kenari hanya berupaya membalas lima gol.
Kali terakhir pertemuan Perlis-Kedah ialah pada 19 November lalu yang menyaksikan skuad hijau kuning tunduk 0-3 kepada pasukan biru kuning itu.
Namun, bagi ketua pasukan Perlis, Muhammad Kaironnisam Shahabuddin, rekod bersih itu tidak boleh dijadikan sandaran untuk mencapai kemenangan mudah pada perlawanan akhir nanti.
Beliau bimbang sikap terlalu yakin dan berpegang kepada rekod itu semata-mata akan membawa padah kepada Perlis pada perlawanan penting tersebut.
Ini kerana suasana dan semangat ketika pertemuan pada peringkat liga dan persahabatan adalah berbeza dengan semangat dalam perlawanan akhir.
``Saya berharap semua pemain melupakan sementara semua kemenangan yang dikecapi itu ketika bertemu Kedah pada perlawanan akhir ini,'' katanya kepada Sukan Utusan dalam satu pertemuan di Kangar, semalam.
Menurut Mohamad Khaironnisam atau lebih dikenali sebagai `Botak', kekalahan Kedah kepada Perlis sebelum ini mungkin hanya sebagai satu strategi pasukan itu.
``Strategi dan permainan sebenar yang akan dipamerkan oleh Kedah pada perlawanan akhir Sabtu ini,'' ujarnya.
Kedah merupakan pasukan yang perlu dihormati memandangkan skuad itu pernah muncul sebagai juara Piala Malaysia sebanyak dua kali pada tahun 1990 dan 1993.
Apatah lagi, katanya, pengalaman Kedah sebanyak enam kali beraksi di perlawanan akhir iaitu pada tahun 1987, 1988, 1989, 1990, 1992 dan 1993, menjadikan keupayaan pasukan itu tidak boleh diperkecilkan.
Apa pun, tambah Muhamad Kaironnisam, inilah masa terbaik buat Perlis untuk melakarkan sejarah sebagai antara pasukan yang pernah menjulang Piala Malaysia.
Sehubungan itu, beliau bersama rakan sepasukan akan berjuang habis-habisan untuk membawa pulang piala paling berprestij itu ke Perlis.
``Kami sedar harapan rakyat tinggi untuk menyaksikan kejayaan Perlis yang selama ini memberi sokongan padu kepada kami,'' tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan