Rabu, 31 Mei 2017

Peluang cerah Perlis, Selangor



ARKIB : 21/06/2005

Oleh AMRAN MULUP
 KUALA LUMPUR - Empat baki perlawanan yang perlu diharungi selepas ini dianggap paling getir buat pasukan yang memburu gelaran Liga Super musim 2005 selain dua lagi daripada Liga Perdana.

Selepas melalui 17 perlawanan, sukar untuk meramalkan sama ada Perlis atau Pahang bakal dinobat selaku juara Liga Super musim 2005.

Begitu juga kedudukan Selangor, Kedah dan MK Land yang bersaing hebat memburu juara Liga Perdana Kumpulan A manakala Negeri Sembilan, Terengganu dan PKNS dalam Kumpulan B.

Juara bagi kedua-dua kumpulan tersebut akan layak beraksi dalam Liga Super musim depan.

Situasi ini bakal menjadikan kempen Liga Super dan Liga Perdana yang berbaki empat perlawanan menjadi laluan penuh berliku.

Hanya empat kemenangan berturut-turut diperoleh, sudah cukup menjamin kedudukan selesa buat pendahulu daripada Liga Super dan Liga Perdana untuk dinobat juara mutlak.

Saingan memburu gelaran Liga Super 2005 menyaksikan persaingan sengit hanya antara Perlis dan Pahang.

Pulau Pinang pada mulanya adalah salah satu pasukan bakal mencabar kedudukan itu tetapi secara matematik peluang mereka kini sudah tertutup.

Mencabar

Buat Pulau Pinang yang memungut 22 mata, jika pun menang baki empat perlawanan, keseluruhannya mereka sekadar mengutip 35 mata dan keputusan itu tidak berupaya mencabar kedudukan Perlis dan Pahang.

Perlis masih kekal selaku pendahulu liga dengan memungut 35 mata manakala Pahang mengekori di tangga kedua dengan 31 mata.

Empat mata memisahkan buat juara pertama Liga Super musim lalu, Pahang tetapi kedudukan itu masih terbuka bagi skuad Tok Gajah untuk mengekalkan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

Namun peluang Perlis dilihat lebih cerah berbanding Pahang dengan baki empat perlawanan yang perlu diharungi.

Skuad Singa Utara perlu menang tiga daripada empat perlawanan untuk dinobatkan lebih awal selaku juara Liga Super musim 2005.

Manakala Pahang pula perlu memenangi kesemua baki empat perlawanan sambil mengharapkan Perlis kecundang dalam dua perlawanan.

Dalam saingan Liga Perdana Kumpulan A pula, Selangor perlu menang kesemua empat perlawanan bagi memastikan tempat ke Liga Super musim depan.

Skuad Merah Kuning terus unggul di tangga teratas dengan 43 mata selepas 17 perlawanan diikuti oleh Kedah (39) dan MK Land (36).

Kedah mengharapkan Selangor tewas dua daripada empat baki perlawanan bagi membuka ruang buat skuad itu mencuri satu tempat ke Liga Super musim depan.

Secara matematik jika Selangor tewas satu dan menang tiga perlawanan lagi mereka akan memungut 52 mata sedangkan Kedah jika menang kesemua perlawanan sekadar meraih 51 mata.

Saingan sengit juga turut membabitkan saingan tiga penjuru antara Negeri Sembilan (40), Terengganu (36) dan PKNS (34) dalam Kumpulan B.

Negeri Sembilan tidak punya banyak pilihan dan perlu menang kesemua baki empat perlawanan jika tidak, Terengganu atau PKNS bakal menjadi penghalang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ifK33DB3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan