Sabtu, 6 Mei 2017

Perlis belum rasa teruji walaupun menang

ARKIB : 12/01/2005

JURULATIH baru Perlis, Abdul Rahman Ibrahim belum dapat mengatakan skuad juara Piala Malaysia itu sudah bersedia menghadapi persaingan Liga Super sekali pun mereka menewaskan Selangor 2-1 di Shah Alam kelmarin.
``Saya belum boleh berkata apa-apa mengenai persediaan kami setakat ini,'' kata Abdul Rahman.
``Ini kerana Selangor tidak menurunkan barisan terkuatnya, begitu juga dengan kami.''
Dalam perlawanan persahabatan itu, yang dijadikan oleh kedua-dua pasukan untuk melihat kemampuan calon pemain-pemain import masing-masing, Selangor membariskan ramai pemain dari skuad Piala Presiden.
Jurulatih Selangor, Dolah Salleh terpaksa menggunakan pemain-pemain kurang berpengalaman itu kerana pemain bintang seperti pemain tengah, Shukor Adan dan dua penyerang, Khalid Jamlus serta Amri Yahyah berada dalam skuad kebangsaan.
Malaysia akan menetang Myanmar dalam penentuan tempat ke-3/4 kejohanan Piala Tiger pada Sabtu ini.
Peminat setia Red Giants bagaimanapun buat pertama kali menyaksikan kelincahan bintang dari Indonesia, Bambang Pamungkas diuji bersama-sama calon pemain import, Drazan Vidovic yang merupakan bekas pemain pertahanan skuad Olimpik Croatia.
Perlis pula menguji dua pemain dari Argentina, Sergio Rodriguez, 28, serta Pablo Parmo, 25.
Rodriguez menjaringkan kedua-dua gol Perlis sebelum tamat babak pertama selepas bekas penyerang MPPJ Selangor, Harris Safwan Kamal lebih dulu meletakkan Selangor di depan.
``Ini ialah perlawanan pertama bagi Perlis sejak bergelar juara Piala Malaysia. Seperti Selangor, kami juga tidak dapat menurunkan kesemua pemain terbaik kami kerana tugasan negara.
``Pertemuan ini hanya untuk memberikan mereka suasana perlawanan,'' kata Abdul Rahman, yang pernah membimbing skuad kebangsaan.
Dua bintang import Perlis, Phillemon Chipeta dan Joao Bandoch juga tidak beraksi kerana masih bercuti di negara masing-masing.
Bekas jurulatih MPPJ Selangor, Dolah pula menjangka dia akan mendapat kekuatan sebenar pasukannya pada 22 Januari ini.
``Kami juga tidak akan dapat menurunkan pemain-pemain terbaik apabila bertemu Pulau Pinang dalam perlawanan persahabatan pada 15 Januari ini,'' katanya.
Dalam pada itu, pengurus Selangor, Datuk Satim Diman pula mengesahkan bahawa pemain lincah Indonesia, Eli Aiboy sudah sah akan menyarung jersi skuad yang akan beraksi dalam Liga Perdana itu.
``Dia dijangka tiba pada 17 atau 19 Januari ini,'' kata Satim.
``Kami sudah menyaksikan persembahannya dalam dua tiga perlawanan liga Indonesia. Saya melihat gandingannya dengan Bambang dalam kelab Persija begitu serasi dan saya yakin barisan hadapan kami akan menjadi lebih mantap dengan adanya Eli nanti,'' katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan