Rabu, 31 Mei 2017

Singa cuba pertahan rekod



ARKIB : 09/07/2005

Oleh: YUSRI SAHAT

KANGAR - Malam ini merupakan detik bersejarah buat Perlis yang akan dimahkotakan selaku juara Piala Liga Super buat pertama kalinya selepas perlawanan terakhir musim ini menentang Tele-kom Melaka di Stadium Utama di sini.

Kalah atau menang bukan lagi menjadi ukuran bagi skuad Singa Utara selepas disahkan selaku juara ketika menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada 2 Julai lalu.

Pastinya para penyokong Perlis tidak melepaskan peluang menantikan detik itu apatah lagi pihak pengurusan stadium bermurah hati menurunkan harga tiket kepada RM5 sebagai hadiah buat peminat.

Namun, berbeza dengan pengurus pasukan, Adzmi Saad yang mahukan anak buahnya meneruskan perjuangan tanpa mencalarkan rekod bersih tanpa kalah sejak beberapa pertemuan lalu menjelang menentang Telekom Melaka malam ini.

Menurut beliau, adalah tidak manis jika Perlis meraikan kejuaraan di hadapan ribuan penyokongnya dengan kekalahan.

``Kita mahu menutup tirai Liga Super dengan lebih cemerlang dan setiap pemain perlu mencipta kemenangan,'' katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iiQKNI8Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis serius pertahan gelaran



ARKIB : 05/07/2005

Oleh YUSRI SAHAT

KANGAR - Selepas bergelar juara bola sepak Liga Super, Perlis kini meletakkan matlamat untuk mempertahankan gelaran selaku juara Piala Malaysia yang disandang pada musim lalu.

Berdasarkan persembahan cemerlang yang dipamerkan sepanjang musim ini, Perlis dilihat berkemampuan mencipta satu lagi sejarah untuk merangkul gelaran berganda.

Serentak itu, presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mengingatkan para pemain supaya terus mencipta kemenangan terhadap dua lagi baki perlawanan yang bakal dihadapi.

Kemenangan ke atas Public Bank malam ini, katanya, adalah penting bagi menjaga status pasukan tersebut sebagai penyandang juara.

``Kita tidak mahu para pemain menganggap perlawanan esok (malam ini) hanya sebagai melengkapkan jadual pertandingan,'' katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sabtu lalu, Perlis ditabalkan sebagai juara Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 dengan memungut 41 mata daripada 19 perlawanan.

Malam ini, Perlis bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya untuk menentang Public Bank yang kini menduduki tangga kelima daripada lapan pasukan.

Sementara itu, Pengurus pasukan, Adzmi Saad turut yakin anak-anak buahnya dapat mengekalkan persembahan mereka apabila melangkah masuk ke Piala Malaysia nanti.

Beliau sedar kebanyakan pasukan yang bergelar juara di peringkat liga sering dilihat mengalami kemerosotan ketika berada dalam kancah Piala Malaysia.

``Kemerosotan dalam pada peringkat itu akan menggagalkan Perlis mempertahankan gelaran sebagai juara Piala Malaysia,'' tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mahu para pemain menumpukan perhatian kepada pertemuan dengan Public Bank yang kini sedang cuba mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana jika tewas malam ini.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak bahawa Perlis bakal diberi tentangan hebat oleh `The Bankers' yang dahagakan kemenangan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ihtIbdVy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis juara Liga Super



 
ARKIB : 03/07/2005
Perlis juara Liga Super
Pemain Perlis termasuk jurulatih Abdul Rahman Ibrahim (tiga dari kanan) bergembira meraikan kejayaan skuad Singa Utara apabila dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005 selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama, Kangar, semalam.

PERLIS 1 P. PINANG 0
MPPJ 1 PERAK 5
SABAH 4 TELEKOM 1
PAHANG 0 PUBLIC BANK 0

KUALA LUMPUR - Perlis mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara bola sepak Liga Super selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 di Stadium Utama di Kangar, semalam.

Kemenangan tersebut sekali gus meletakkan penyandang juara Piala Malaysia itu sebagai pasukan kedua menjuarai liga itu selepas Pahang pada musim lalu.

Gol kemenangan skuad Singa Utara dijaringkan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid pada minit ke-40.

Kemenangan manis itu turut disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Jamalullail dan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Sejurus pengadil perlawanan meniup wisel penamat, stadium Utama gamat dengan pekik sorak di kalangan 20,000 penyokong yang hadir selain kesebelasan utama Perlis berpelukan sesama sendiri meraikan kejayaan manis menjulang Piala Liga Super.

Perlis yang kini memungut 41 mata dan kedudukan itu tidak mampu dicabar oleh pasukan lain walaupun skuad Singa Utara masih mempunyai baki dua perlawanan perlu diharungi.

Mereka akan bertemu Public Bank dan Telekom Melaka.

Piala Liga Super hanya akan diserahkan kepada Perlis selepas perlawanan terakhir dengan Telekom Melaka di Stadium Utama pada 9 Julai ini.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang gagal menggunakan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 0-0 bertemu Public Bank.

Kehadiran pemain import baru Pahang dari Mesir, Khaled Ragab Abdelgany di bahagian tengah juga gagal membantu untuk mengutip kemenangan.

Lebih menghampakan persembahan kedua-dua pasukan jelas hambar selain tidak ada gerakan menarik dipamerkan.

Di Stadium Likas, jaringan hatrik pemain import, Julio Cesar membantu Sabah bertindak garang apabila membelasah Telekom 4-1.

Cesar membuka tirai jaringan pertama pada minit ke-25 sebelum menambah gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 dan gol ketiga menyusul pada minit ke-51.

Gol keempat tuan rumah dijaringkan oleh Joey Ryan Gundok pada minit ke-75 manakala gol tunggal Telekom pula menerusi Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-48 menerusi sepakan penalti.

Di Stadium Petaling Jaya, Perak meneruskan aksi cemerlang untuk terus kekal berada di tangga ketiga selepas membelasah MPPJ 5-1.

Penyerang import dari Liberia, Fran Seator sekali lagi beraksi cemerlang apabila mencipta jaringan hatrik pada minit ke-56, ke-64 dan ke-72.

Manakala dua gol lagi menerusi Syamsol Saad (m-20) dan Ahmad Shahrul (m-54).

Gol tunggal MPPJ dijaringkan oleh Ben Katanha pada minit ke-43.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ihlowPym
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perlis hanya perlu tiga mata



ARKIB : 27/06/2005

KUALA LUMPUR - Perlis hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk dinobatkan selaku juara Liga Super musim 2005 sebelum saingan sebenar berakhir pada 9 Julai ini.

Perlis perlu menewaskan Pulau Pi-nang di Stadium Utama Negeri Sabtu ini untuk ditabalkan selaku juara baru lebih awal sekali gus menambah koleksi kejuaraan selepas menjulang Piala Malaysia musim lalu.

Dua lagi baki perlawanan buat Perlis selepas itu ialah bertemu Public Bank (5 Julai) dan Telekom (9 Julai).

Perlis kini memungut 38 mata iaitu kelebihan tujuh mata mengatasi saingan terdekat Pahang di tempat kedua. Pahang kekal di tangga kedua liga dengan 31 mata.

Jika skuad Singa Utara menang ke atas Pulau Pinang mereka akan mengumpul 41 mata sedang Pahang jika menang tiga baki perlawanan lagi sekadar meraih 40 mata.

Tiga kemenangan diraih Pahang tidak mampu menggugat kedudukan Perlis yang masih mempunyai baki dua perlawanan untuk diharungi.

Pahang pastinya pulang hampa selaku juara pertama musim lalu ketika peluang untuk mengekalkan gelaran terbuka luas tetapi gara-gara tewas 1-2 kepada Perlis di tempat lawan Sabtu lepas, melenyapkan segala impian tersebut.

Skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan pastinya hampa dua gelaran sudah terlepas daripada genggaman, pertama tersingkir awal di Piala FA dan kecewa pula untuk menjulang trofi Liga Super musim 2005.

Pahang sepatutnya memburu kemenangan ke atas Perlis tetapi di hadapan 17,000 penyokong tuah rumah, anak didik Abdul Rahman Ibrahim nyata unggul.

Tanpa kelibat Zachariah Simukonda dan Joao Bandoch yang tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama, tetapi Perlis tetap garang dengan dua jaringan menerusi dua pemain pertahanan, Mohd. Feriza Ismail dan ketua pasukan, Muhammad Khaironnisam Shahbudin memastikan kemenangan 2-1.

Menjelang pertemuan penting dengan Pulau Pinang Sabtu ini, Abdul Rahman pastinya akan mencongak strategi paling mantap untuk mengutip kemenangan bergelar juara.

Ketika Perlis sudah mampu mengukir senyum dengan baki tiga perlawanan perlu diharungi, persaingan dua tempat untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Super musim depan turut menjadi perhatian.

Sabah yang tewas 0-1 kepada Public Bank yang meletakan mereka di tangga terbawah liga dengan 21 mata, berada pada kedudukan paling getir berkemungkinan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Apa lagi jika tewas dalam tiga perlawanan selepas ini.

Nasib yang sama turut dihadapi oleh bekas juara Piala Malaysia 2003, MPPJ yang berada di dua tangga tercorot dengan 21 mata, perlu mengutip tiga kemenangan untuk mengelak daripada tersingkir musim depan.

Nasib Pulau Pinang, Public Bank dan Perak dianggap belum selamat tidak terkecuali mengintai kemenangan penting daripada baki tiga perlawanan yang tinggal.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ifbVddN0
© Utusan Melayu (M) Bhd