Ahad, 7 Mei 2017

Simukonda atasi kehebatan Chipeta



ARKIB : 03/02/2005

KANGAR - Keupayaan permata hitam baru Perlis, Zacharia Simukonda menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan pertama bola sepak Liga Super 2005 dilihat mampu memadamkan kehebatan bekas penyerang Singa Utara yang juga rakan senegaranya, Phillemon Chipeta yang kini tidak lagi bersama pasukan itu, lapor SUFFIAN ABU BAKAR.

Malah pemain tinggi lampai berusia 26 tahun itu mengotakan janjinya sebelum ini untuk menjaringkan gol kemenangan bagi membantu Perlis mengutip tiga mata penuh sewaktu pasukannya menewaskan MPPJ Selangor 3-2 di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Gol Simukonda yang terhasil tujuh minit sebelum perlawanan tamat membolehkan Perlis mencapai kemenangan pertama selepas seri 2-2 dengan Perak dalam perlawanan akhir Piala Sumbangsih, pembuka tirai liga itu Sabtu lalu.

Dia yang mula menyarung jersi Perlis musim ini turut menjaringkan dua gol sewaktu menentang Perak tempohari dan kini menjadi antara penjaring terbanyak liga dengan jumlah tiga gol selain Keita Mandjou dari Perak.

``Satu kepuasan bagi saya setelah berjaya menunaikan janji kepada peminat Perlis untuk menjaringkan gol semalam, kerana yang paling penting kami dapat pulang dengan tiga mata.

``Namun kejayaan semalam bukan disebabkan jaringan saya sahaja, sebaliknya ia hasil kerja keras semua pemain Perlis yang lain walaupun kita dua kali ketinggalan kepada lawan,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan di Kangar, semalam.

MPPJ Selangor yang sebelum ini tewas 3-2 kepada Pahang tampil dengan misi mengutip kemenangan pertama dan seawal minit-13, bekas penyerang Telekom Melaka, Farid Dewan menjaringkan gol pertama pasukan bimbingan Reduan Abdullah itu.

Penyerang lincah Perlis, Zainuddin Ariffin kemudian menyamakan kedudukan pada minit-35 apabila bola rembatannya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol MPPJ, Yazid Yassin namun MPPJ kembali di depan apabila Sebastian Omar Manestrolo menyumbat gol kedua sebelum babak pertama ditamatkan.

Hasil percaturan bijak jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, Perlis memperoleh dua gol pada babak kedua menerusi Muhammad Lamin Conteh Al-Hidayah pada minit-56.

Simukonda muncul sebagai wira Singa Utara pada minit 83 apabila mendapat bola hasil hantaran jauh Mohd. Ivan Yusoff untuk mengelecek dua pemain pertahanan MPPJ dan Yazid sebelum menguis masuk gol kemenangan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4gOM38LBi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan