Sabtu, 27 Mei 2017

Perlis lebar cengkaman



ARKIB : 20/03/2005

KUALA LUMPUR - Beraksi dengan sepuluh pemain tidak menghalang Perlis memperkukuhkan kedudukan sebagai pendahulu apabila mencapai kemenangan mudah 2-0 ke atas MPPJ dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Utama, Kangar, semalam.

Sekalipun pemain gantian Mohd. Sahabuddin Kadir dilayangkan kad merah pada minit ke-71 tetapi tidak menghalang skuad Singa Utara meledakkan dua jaringan menerusi Owen Nwendabai pada minit ke-20 dan Zainuddin Ariffin pada minit ke-81.

Kemenangan itu sekali gus memperkukuhkan kedudukan Perlis di tangga teratas dengan memunggut 20 mata daripada enam kemenangan.

Di Stadium Bandaraya pula, Pulau Pinang yang cuba memberi saingan kepada Perlis bagaimanapun tersentak apabila dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Telekom.

Sekali pun Telekom beraksi dengan sepuluh pemain setelah pada minit ke-31, pemain pertahanan, Mohd Munir Amran dilayangkan kad merah oleh pengadil pelawanan, Katheresen Murugan kerana mengasari pemain Pulau Pinang, Ng Kok Heng.

Gol kemenangan Telekom dijaringkan oleh Quassy Edward pada minit ke-76 menewaskan penjaga gol Azuan Othman.

Di Stadium Darul Makmur pula Pahang turut hampa untuk mengutip tiga mata penuh selepas hanya mampu seri 3-3 dengan Sabah.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 mengakhiri babak pertama dengan Sabah membuka tirai jaringan awal menerusi Ahmed Elsayed Alfatih (m-8) tetapi Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-42.

Bagaimanapun Pahang menambah dua gol lagi menerusi Rsodi Talib (m-50) dan Benard Tchoutang (m-75) sebelum Sabah menyamakan kedudukan menerusi Julio Cesar (m-73 dan m-77).

Keputusan seri itu membolehkan Pahang memintas Pulau Pinang untuk berada di tempat kedua liga ketika anak didik Norizan Bakar dikejutkan dengan kekalahan mengejut 0-1 kepada Telekom dalam perlawanan lain.

Sementara itu Public Bank meneruskan kecemerlangan apabila tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan juara Piala FA musim lalu Perak dengan kemenangan 2-1 di Stadium Shah Alam.

Kemenangan itu memastikan Public Bank merapatkan diri untuk memburu Perlis selaku pendahulu Liga Super.

Public Bank membuka tiran jaringan pada minit ke-56 menerusi penyerangnya Mohd. Fareed Shah sebelum Perak menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd. Nor Ismail pada minit ke-61.

Gol kemenangan Public Bank dijaringkan oleh penyerang importnya Luis Estindola pada minit ke-90.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iKIg5QEc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan