ARKIB : 10/05/2005
Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED
KANGAR - Kejayaan Perlis
menundukkan kesemua pesaing terdekatnya termasuk Public Bank kelmarin,
membuktikan Singa Utara semakin digeruni dalam kancah Liga Super musim ini.
Kejayaan itu sekali gus
menambah pungutan sebanyak 29 mata berbanding pesaing terdekatnya iaitu Pahang
yang hanya memungut 21 mata, sekali gus mencerahkan buruan Singa Utara untuk
menjulang Piala Liga.
Bermula dengan mengalahkan
Pahang 5-1 dan seterusnya Pulau Pinang 2-0 dalam tempoh dua minggu ini,
kejayaan lebih manis dicipta apabila Perlis berjaya menamatkan rekod tanpa
kalah `The Bankers' ke atas pasukan itu sejak empat pertemuan lalu di Stadium
Selayang, malam kelmarin.
Rekod Public Bank lebur sekelip
mata selepas pemain Perlis, Zainuddin Mohd. Ariffin dan Adrien Jurad Chamrong
masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-17 dan 75.
Bagaimanapun, di sebalik
kejayaan itu, pengurus pasukan Singa Utara, Adzmi Saad melahirkan rasa kesalnya
terhadap mutu pengadilan dan juga keadaan padang yang tidak berkualiti di
Stadium Selayang yang mengganggu kelancaran permainan.
Mengulas perlawanan malam
kelmarin, beliau berkata, mutu pengadilan yang tidak konsisten membuatkan para
penonton bertindak agresif dengan membaling pelbagai objek sebagai tanda protes
terhadap keputusan pengadil.
Berikutan dua faktor itu,
katanya, banyak peluang untuk menjaringkan gol oleh anak-anak buahnya terlepas
begitu sahaja.
``Ditambah dengan keadaan
padang bola yang tidak terjaga, ia mampu memusnahkan bidang bola sepak negara
jika kedua-dua faktor tersebut tidak diendahkan dan dibiarkan tanpa sebarang
tindakan,'' jelasnya ketika dihubungi Utusan Sukan hari ini.
Dengan menjangkakan Singa Utara
mampu menghasilkan antara empat hingga lima jaringan, Adzmi memberitahu,
pengadil sepatutnya mampu mengawal perlawanan dengan lebih baik.
Ditanya mengenai kekuatan
Public Bank, kata beliau, pasukan itu juga mempunyai banyak peluang menerusi
sepakan percuma yang diberikan tetapi tidak disempurnakan dengan baik.
Public Bank menurutnya,
merupakan pasukan yang mempunyai kekuatan di barisan penyerang dan beberapa
berjaya menembusi pasukan pertahanan Perlis.
``Berikutan kelemahan di
barisan pertahanan, kita akan mantapkan lagi barisan di bahagian itu menjelang
perlawanan menentang Telekom Melaka di Kangar pada 14 Mei depan,'' tambahnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iTmB3gEI
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan