ARKIB : 03/12/2004
Begitulah ungkapan ringkas jurulatih Perlis, Norizan Bakar ketika ditanya persiapan terakhir pasukannya sebelum berlepas ke Kuala Lumpur semalam, menjelang perlawanan akhir itu nanti yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Norizan dan semua pemain Perlis mengadakan latihan terakhir di Kangar petang kelmarin dan pada sebelah malamnya mereka diraikan dalam satu majlis makan malam bersama penyokong Singa Utara yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Dewan Warisan Kangar.
``Ini merupakan kali pertama Perlis layak ke perlawanan akhir dan sebagai satu pasukan baru, sudah tentu mereka semua ingin merasai suasana perlawanan akhir tersebut dan ia lebih bermakna jika berjaya memenangi perlawanan itu.
``Mereka semua telah berkorban sejak awal kempen Piala Malaysia musim ini dan saya rasa 90 minit yang terakhir ini tidak perlu disia-siakan,'' kata Norizan yang lebih mesra dipanggil Cikgu Jan.
Perlis bakal bertemu Kedah dalam perlawanan akhir itu nanti selepas mengetepikan cabaran Pahang di peringkat separuh akhir, manakala lawan mereka pula menundukkan Sabah dengan agregat 1-0.
Ditanya mengenai rekod pertemuan lalu antara Perlis dan Kedah yang jelas memihak kepada Singa Utara, Norizan enggan mendabik dada dan menyifatkan segala keputusan perlawanan terdahulu tidak boleh diambil kira.
``Lupakan segala statistik pertemuan terdahulu, kerana ini perlawanan akhir dan setiap pasukan tentunya mempunyai persiapan yang berbeza.
``Malah saya yakin semua pemain juga tidak akan terpengaruh dengan situasi ini dan menganggap cabaran ini ialah yang terakhir bagi mereka sebelum menutup tirai bola sepak musim ini,'' jelasnya.
Norizan turut yakin beberapa pemain yang mengalami kecederaan ketika ini mampu bermain dalam perlawanan akhir itu nanti kerana tempoh yang ada masih panjang iaitu dua hari sebelum hari perlawanan.
Walaupun terdapat dua atau tiga pemain yang masih cedera, katanya, mereka dijangka pulih dan dapat beraksi untuk perlawanan itu.
Yusri Che Lah adalah antara tonggak utama Perlis yang difahamkan masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang dialami sewaktu bertemu Pahang tempohari.
Pemain itu hanya menjalani latihan ringan berbanding rakan sepasukannya yang lain sewaktu tinjauan Sukan Utusan di Kangar, baru-baru ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan