Selasa, 23 Mei 2017

Perlis rampas tangga teratas



ARKIB : 20/02/2005

PEMAIN Pulau Pinang, Ng Kok Heng (belakang) diasak keras pemain Perlis, Rafiz Abu Bakar dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, semalam. Perlis menang 2-1.- Gambar SAZALI CHE DIN.

KUALA LUMPUR - Juara Piala Malaysia, Perlis merampas kedudukan sebagai pendahulu Liga Super daripada Pulau Pinang selepas meleburkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Kumbang itu 2-1 dalam perlawanan di Stadium Bandaraya, semalam.

Pemain import, Zacharia Simukonda muncul wira Perlis dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Terdahulu, Pulau Pinang mendahului menerusi Mohd. Faizal Esahar pada minit ke-66 sebelum Perlis menyamakan kedudukan menerusi Ivan Yusof pada minit ke-78.

Kemenangan itu cukup manis buat Perlis kerana berjaya menewaskan pasukan yang dibimbing bekas jurulatih mereka sendiri, Norizan Bakar.

Terdahulu Pulau Pinang mendahului dengan Mohd Faizal Esahar meletakkan Pulau Pinang di depan menerusi tandukannya hasil hantaran lintang dari Tengku Hazman.

Skuad Pulau Mutiara pula seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang selepas itu dalam aksi yang hampir mencetuskan pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

Ia bermula daripada sepakan percuma yang dihadiahkan pengadil pada minit ke-78 yang menimbulkan rasa tidak puas hati pemain tuan rumah dan juga dianggap detik kekalahan Pulau Pinang.

Sepakan percuma yang diambil Simukonda gagal ditangkap kemas penjaga gol, Azuan Othman pantas direbut Ivan Yusoff bagi menyamakan kedudukan 1-1.

Perlawanan yang seakan berakhir dengan keputusan seri berubah apabila Simukonda menjaringkan gol kemenangan pasukan pelawat.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam, Pahang melonjak ke tangga ketiga liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Public Bank.

Gol tunggal perlawanan dan kemenangan Pahang itu dijaringkan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-40.

Kemenangan itu membolehkan Pahang memungut sembilan mata, empat mata di belakang Perlis untuk memintas Telekom Melaka yang jatuh di tangga keempat.

Telekom Melaka yang beraksi di gelanggang sendiri iaitu Stadium Hang Jebat sekadar mampu seri 3-3 dengan Sabah selepas dua kali bangkit daripada ketinggalan.

Pemain import Sabah, Julio Cesar mencipta hatrik pada perlawanan itu dengan gol pada minit ke-30, 36 dan 68.

Tuan rumah yang ketinggalan 2-0 selepas 36 minit permainan berlangsung bangkit dengan gol pertama menerusi tandukan Mohd. Badrul Azam seminit selepas itu.

Telekom Melaka kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Koffi Edward seminit selepas babak kedua bermula.

Sabah kembali mendahului pada minit ke-68 tetapi sekali lagi Telekom Melaka menafikan kelebihan itu dengan gol penyamaan pada minit ke-85.

Mengekori rapat Telekom Melaka ialah Perak di tangga kelima yang menang ke atas Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

MPPJ bagaimanapun lebih dulu mencemaskan 10,000 penyokong tuan rumah dengan gol pembukaan menerusi sepakan percuma, Azrin Shah Zainal yang melencong sebelum terkena palang dan masuk ke gawang pada minit ke-12.

Bagaimanapun Perak yang hanya menurunkan dua pemain import, menyamakan kedudukan menerusi Kieta Mandjou pada minit ke-23.

Gol kemenangan Perak dijaringkan Chan Wing Hoong yang menanduk masuk bola pada minit ke-66 ketika MPPJ hanya beraksi dengan 10 pemain.

Ini selepas ketua pasukan MPPJ, Faizal Zainal dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-46 oleh pengadil dari Kedah, Ahmad Khalidi Supian.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4hujXDbVt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan