ARKIB : 02/05/2005
KANGAR - Penyerang berbisa
skuad Singa Utara, Zacharia Simukonda menunaikan janji dengan ledakan hatriknya
untuk membantu Perlis membelasah Pahang 5-1 pada saingan Liga Super di sini
malam kelmarin.
Kekalahan teruk Tok Gajah itu
membuktikan bahawa `sumpahan' gelanggang Stadium Utama masih berterusan untuk
menafikan sebarang kemenangan buat Pahang ke atas Perlis.
Kemenangan besar itu
seolah-olah meletakkan Perlis berada pada kelas tersendiri sekali pun Pahang
dibarisi sebahagian besar pemain kebangsaan.
Ini merupakan kekalahan kedua
berturut-turut Pahang kepada Perlis musim ini yang menyaksikan Pahang hanya
sempat berada di puncak liga selama empat hari selepas menewaskan Pulau Pinang
4-1, Selasa lalu.
Kemenangan itu membuatkan
jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim menarik nafas lega kerana menganggap
Pahang merupakan saingan paling rapat dalam perebutan persada liga.
Beliau ternyata berpuas hati
dengan persembahan meyakinkan anak-anak buahnya yang berjaya mengambil setiap
peluang yang terhidang di depan mata.
``Kemenangan besar ke atas
Pahang ini amat mengejutkan dan saya sendiri tidak percaya mampu mencapai
kejayaan dengan jumlah gol yang banyak ini,'' katanya kepada Utusan Sukan
ketika dihubungi hari ini.
Selain Simukonda yang mencipta
hatrik pada minit kelapan, 38 dan 86, dua gol lagi dijaringkan oleh Mohd. Lamin
Conteh (m-61) dan Zainuddin Ariffin (m-76) manakala gol saguhati Pahang
dijaringkan oleh Bernard Tchoutang menerusi sepakan penalti pada minit ke-70.
Kejayaan itu meletakkan semula
Perlis di takhta liga manakala Pahang tersingkir ke tangga kedua.
Apa pun, Abdul Rahman tidak
mahu anak-anak buahnya terus leka dibuai dengan kemenangan tersebut sebaliknya
menyiapkan diri untuk menghadapi pertemuan dengan Pulau Pinang pada 3 Mei ini
yang tidak kurang sengitnya.
Ini kerana, kata beliau,
pasukan Harimau Kumbang itu yang menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 19
mata mempunyai peluang yang cerah untuk mengungguli persada liga.
``Kemenangan ke atas Perak 2-1
malam tadi (kelmarin) memberi isyarat kepada kita bahawa Pulau Pinang merupakan
satu lagi ancaman besar selepas Pahang,'' jelasnya.
Pada perlawanan pusingan
pertama 19 Februari lalu, Perlis berjaya menundukkan Pulau Pinang 2-1.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iSWKohUo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan