ARKIB : 28/04/2005
Oleh YUSRI SAHAT
KANGAR - Selepas `berbulan
madu' selama lima minggu, Perlis memulakan langkah sumbang apabila tewas kepada
Sabah 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam semalam.
Kekalahan mengejut di tangan
pasukan kedua tercorot itu sekali gus membantutkan usaha skuad Singa Utara itu
memperkukuhkan cengkaman di persada liga selepas dipintas oleh Pahang yang
menang besar ke atas Pulau Pinang 4-1.
Berikutan kegagalan mengutip
mata penuh itu, Perlis kekal mengumpul 20 mata manakala Pahang mengatasi Singa
Utara dengan kelebihan jaringan gol.
Pengurus pasukan, Adzmi Saad
ketika dihubungi, sukar untuk menerima kekalahan itu apatah lagi Perlis pernah
membelasah teruk Sabah 5-0 pada pertemuan pertama di Kangar pada 5 Februari
lalu.
Bagaimanapun, beliau tidak
menyalahkan anak-anak buahnya yang telah memberi komitmen yang tinggi
sebaliknya mendakwa mutu pengadilan yang lemah menjadi faktor utama kekalahan
tersebut.
Tegas beliau, beberapa insiden
yang sepatutnya berpihak kepada pemain Perlis, tidak diberi layanan sewajarnya
sedangkan pada masa yang sama Sabah sentiasa mendapat kelebihan jika berlaku
sesuatu kekasaran.
``Perlis sepatutnya dihadiahkan
dua penalti apabila Zacharia Simukonda dijatuhkan dengan kasar di dalam kotak
tetapi tidak dilayan oleh pengadil dari Perak.
``Keadaan berlaku sebaliknya
apabila Sabah pula berjaya memperoleh penalti menerusi Julio Cesar,'' katanya
kepada Utusan Sukan, semalam.
Adzmi mendakwa, sikap pengadil
yang dikatakan lebih memihak kepada Sabah juga menyebabkan para pemain pasukan
Badak itu semakin `berani' bermain dengan keras terhadap anak-anak buahnya.
Faktor keletihan beberapa
pemainnya yang baru pulang daripada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi
baru-baru ini juga merupakan punca Perlis gagal memberi persembahan terbaik
dalam pertemuan itu, ujarnya.
``Para pemain Sabah tidak ada
yang terbabit dengan sukan itu dan mereka mampu mengerahkan tenaga mereka
sepenuhnya untuk membenam Perlis,'' jelasnya.
Apa pun, beliau tetap
mengingatkan kepada anak-anak buahnya supaya memperbaiki segala kelemahan
memandangkan pertemuan seterusnya lebih getir iaitu berhadapan dengan Pahang di
Kangar, Sabtu ini.
Pertemuan tersebut katanya,
amat penting dan bakal menjadi titik penentuan pasukan mana yang sebenarnya
layak menduduki persada liga.
``Kehadiran Pahang ke sini
pastinya dengan misi untuk membalas dendam selepas mereka tewas 1-0 pada
pertemuan pertama di Kuantan pada 12 Februari lalu,'' tambahnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iQqelelf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan