Isnin, 29 Mei 2017

Perlis azam lebur rekod Public Bank



ARKIB : 08/05/2005
Oleh Yusri Sahat

KANGAR - Perlis bertandang ke Selayang malam ini dengan satu matlamat iaitu memadamkan rekod tanpa kalah Public Bank ke atas pasukan Singa Utara itu sejak empat pertemuan lalu.

Sejak musim lalu, Perlis tidak pernah menang apabila bertemu `The Bankers' walaupun di gelanggang sendiri, apatah lagi di tempat lawan, sepanjang kancah saingan Liga Super.

Justeru, Public Bank dilihat sebagai antara satu-satunya pasukan yang boleh mengganggu `kelancaran' Perlis untuk menuju ke puncak kejuaraan liga pada musim ini.

Itulah tekad penyerang Singa Utara, Mohd. Ivan Yusoff yang berazam untuk membuang `badi' kekalahan yang sekian lama terlekat pada pasukannya setiap kali bertemu Public Bank.

Pertemuan kedua Mohd. Ivan dengan Public Bank selepas menyarung jersi Singa Utara musim ini bakal melakarkan kenangan manis jika Perlis mampu menjinakkan pasukan dari Lembah Kelang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam ini .

``Pertemuan kali ini lebih unik kerana bertujuan mencipta kemenangan pertama selepas kekalahan demi kekalahan dialami ketika menentang Public Bank,'' katanya kepada Utusan Sukan ketika dihubungi hari ini.

Pada musim lalu, Perlis tewas dua kali kepada Public Bank iaitu 0-2 pada 25 April 2004 sebelum kalah sekali lagi 2-4 pada 4 Ogos tahun yang sama.

Badi itu berulang kembali apabila Perlis sekali lagi kecundang 0-1 dalam pusingan pertama Liga Super di Kangar pada 26 Februari lalu.

Berdasarkan rekod yang menyebelahi Public Bank itu, Mohd. Ivan menyeru rakan-rakannya terutama gandingannya, Zacharia Simukonda supaya tidak leka dengan kemenangan-kemenangan manis ketika menentang Pahang dan Pulau Pinang sebelum ini.

Sebaliknya, tegas beliau, semua pemain perlu `menyingsingkan lengan' dan berjuang habis-habisan untuk menyekat kemaraan Public Bank yang semakin konsisten sejak kebelakangan ini selepas menewaskan Pahang baru-baru ini.

Kemenangan malam ini juga, katanya, adalah penting dalam usaha Perlis menambahkan jurang pungutan mata dengan saingannya terutama Pahang dan Pulau Pinang yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga liga.

``Kita juga tidak boleh memandang ringan keupayaan Public Bank yang kini berada di tangga keempat yang berpeluang cerah memintas mana-mana pasukan di atasnya memandangkan perjalanan saingan masih jauh,'' jelasnya.

Bekas pemain pasukan Kuala Lumpur itu yakin Perlis mampu mencipta keajaiban di Stadium Selayang malam ini jika Singa Utara mengekalkan corak permainan mantap sebagaimana yang dipamerkan sebelum ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iTd7IYRW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan