Jumaat, 26 Mei 2017

Rekod Singa Utara lebur



ARKIB : 27/02/2005

PENYERANG Pahang, Indra Putra Mahayudin (belakang) cuba melepasi pemain Telekom Melaka, Ronald Grnja dalam aksi bola sepak Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. Indra mencipta hatrik sewaktu Pahang menang 3-0. - Gambar GHAZALI BASRI.

KUALA LUMPUR - Rekod tanpa kalah Perlis dalam saingan bola sepak Liga Super lebur semalam apabila tunduk 1-0 kepada Public Bank Selangor dalam aksi tegang yang menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan 10 pemain di Stadium Utama, Kangar.

Walaupun mengalami kekalahan pertama musim ini, juara Piala Malaysia itu kekal sebagai pendahulu liga selepas pencabar terdekat, Pulau Pinang tumpas 2-1 kepada MPPJ Selangor di Stadium MPPJ.

Mohd. Aiman Wong menghukum kelekaan benteng pertahanan Perlis apabila menanduk gol pembukaan Public Bank pada minit ke-32 yang menyebabkan kira-kira 18,000 penonton tuan rumah terdiam.

Keghairahan untuk mencari gol penyamaan menyebabkan perlawanan agak tegang pada babak kedua dan akibatnya, kedua-dua pasukan terpaksa menamatkan baki tujuh minit permainan dengan 10 pemain.

Pergaduhan yang tercetus di antara kapten Perlis, Mohd Khaironnisam Shabdin dan pemain import Public Bank, Gustavo Fuentes meninggalkan pengadil, Subkhiddin Mohd. Salleh dari Pulau Pinang tanpa banyak pilihan kecuali melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain.

Di Stadium Darulmakmur, penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin muncul wira Pahang apabila mencipta hatrik untuk membantu pasukannya menundukkan Telekom Melaka 3-0.

Kemenangan membolehkan Pahang, yang mendahului 1-0 pada separuh masa pertama melonjak ke tangga kedua liga dengan 12 mata, satu mata di belakang Perlis.

Selepas meletakkan Pahang di depan pada minit ke-35, Indra Putra menambah dua lagi gol pada babak kedua, masing-masing di minit ke-49 dan 76.

Dalam satu lagi perlawanan, kemarau kemenangan yang dicari oleh MPPJ akhirnya terlerai apabila dua gol menerusi pemain import dari Argentina Fabricio Rene Franceshi dan Sebastian Omar Monesterolo membantu mereka mengejutkan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Petaling Jaya.

MPPJ memecah kebuntuan jaringan gol apabila Franceshi menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Azuan Othman.

Tiga minit selepas itu Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan menerusi Viatcheslav Melnikov, namun Monesterolo mengesahkan kemenangan MPPJ pada minit ke-63 dengan merembat masuk gol kedua dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol Pulau Pinang.

Sementara di Stadium Likas, Sabah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak, terima kasih kepada gol tunggal penyerang import, Julio Cesar pada minit ke-27.

Perlawanan semalam turut menyaksikan Sabah menurunkan pemain import barunya, Ahmel El Sayed Elpatih dari Sudan buat kali pertama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iAfWcNAU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan