ARKIB : 06/03/2005
PEMAIN Perak, Mohd. Nor Ismail
(jersi kuning) cuba dihalang oleh pemain Pahang, Iyowuna Edward dalam saingan
bola sepak Liga Super di Stadium Perak, malam tadi yang menyaksikan kedua-dua
pasukan terikat tanpa jaringan. - Gambar HANAFI KHAMIS.
KUALA LUMPUR - Perlis
mengekalkan penguasaan tangga teratas bola sepak Liga Super biarpun seri tanpa
jaringan dengan Telekom Melaka dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka,
semalam sekali gus menjuarai pusingan pertama liga.
Kedudukan skuad Singa Utara itu
dibantu oleh keputusan yang sama yang berlaku kepada dua pasukan saingan
mereka.
Pahang yang menduduki tangga
kedua dan Pulau Pinang di tangga ketiga liga, turut mengutip satu mata dalam
perlawanan masing-masing.
Pahang diikat 0-0 oleh Perak
dalam perlawanan di Stadium Perak di Ipoh manakala Pulau Pinang seri 1-1 dengan
Public Bank di Stadium Shah Alam.
Perlis kini masih memiliki
kelebihan satu mata dengan 14 mata selepas tujuh perlawanan.
Pahang dan Pulau Pinang turut
kekal di tangga kedua dan ketiga dengan masing-masing mengumpul 13 mata.
Pulau Pinang mendahului 1-0
menerusi gol awal Viatcheslav Melnikov pada minit keenam sebelum Luis Espindola
menyamakan kedudukan untuk Public Bank pada minit ke-76.
MPPJ mencatat kemenangan kedua
liga untuk memperbaiki kedudukannya di tangga terbawah untuk berkongsi tujuh
mata selepas menang 2-1 ke atas Sabah di Stadium Petaling Jaya.
Kedua-dua gol jaringan
penyerang import dari Argentina, Fabricio Franceschi pada minit ke-73 dan ke-84
membolehkan pasukan tuan rumah meraih kemenangan kedua mereka daripada tujuh
perlawanan sekali gus mengelakkan tempat terakhir apabila mengutip tujuh mata
hasil dua kali menang dan sekali seri.
Franceschi, yang menjaringkan
satu gol ketika pasukan itu menang 2-1 ke atas Pulau Pinang di gelanggang yang
sama minggu lepas, mengulangi gaya gol itu dijaringkan dengan rembatan leret
yang tertampan oleh seorang pemain pertahanan Sabah sebelum melepasi jangkauan
penjaga gol veteran Khairul Azman Mohamad.
Pengadil Rashdi Hamat
menghadiahkan sepakan percuma tidak langsung itu betul-betul di garisan kotak
penalti apabila Khairul Azman dipersalahkan kerana mengasari penyerang import
dari Argentina, Sebastian Manesterolo.
Franceschi terus menghukum
kealpaan benteng lawan apabila beliau menjaringkan gol kedua enam minit sebelum
wisel penamat dengan sepakan tepat ke penjuru kiri pintu gol lawan ekoran
serangan bertali-arus pasukan tuan rumah.
Sabah berusaha menyaingi
kehebatan tuan rumah dan akhirnya berjaya menjaringkan gol apabila pemain
gantian Zaykiel Leong menanduk masuk gol pada minit kecederaan ekoran
pergelutan di depan pintu gol lawan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iBN0u6Cu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan