Isnin, 5 Jun 2017

Arsyah cuba nasib bersama Perlis



ARKIB : 27/10/2005

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
 PANGAR - Pemain kebangsaan, Mohd. Arsyah Ayob yang pernah disingkirkan oleh skuad bola sepak Sabah kerana masalah disiplin pada Ogos lalu muncul di Kangar untuk mencuba nasib dengan naib juara Piala Malaysia, Perlis.

Mohd. Arsyah, 25, menjalani latihan dengan pemain-pemain yang dikekalkan oleh juara Liga Super itu semalam.

Turut menjalani sesi ujian pemilihan di Stadium Utama itu ialah dua pemain Negeri Sembilan, Effendy Malek dan Norhainizam Shahabudin; Amirul Nizam Mahadzir dan Shariman Che Omar (Kedah) serta Mohd. Rafdi Rashid (Perak).

Mohd. Arsyah, pemain midfield yang berasal dari Kuala Lumpur dan mewakili negara pada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi April lalu, ditamatkan kontrak serta-merta oleh Sabah bersama empat pemain lain setelah didapati bersalah kerana berada di sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu pada pukul 3 pagi, 19 Ogos lalu - ironinya hari mereka sepatutnya bertolak ke Kangar untuk perlawanan Liga Super menentang Perlis.

Dia dan Mohd. Rizal Hassan, Mior Mohd. Nasir, K. Nanthakumar dan Mohd. Zalmie Jamlus juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu gagal menjaga kepentingan pasukan dan perlawanan menentang Perlis di mana mereka sepatutnya dikehendaki berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 6 pagi 19 Ogos lalu, sejam sebelum penerbangan.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Arsyah dan empat rakannya itu disahkan mengambil alkohol melalui ujian pernafasan yang dibuat oleh polis trafik pada pukul 4 pagi hari yang sama.

Perlis berusaha mengekalkan dua pemain yang cuba dipancing oleh pasukan dari Lembah Klang iaitu ketua pasukan, Mohamad Kaironnisam Shahabudin Hussein dan , Yusri Che Lah.

Selain itu, mereka juga cuba mengikat sembilan pemain dari skuad musim lepas iaitu Manzoor Azwira Abdul Wahid, Mohd. Feriza Ismail, Mohd. Khairi Zainuddin dan Mohd. Ivan Yusoff, Mohd. Amran Omar, Rusfazly Rahaman, Mohd. Shahabudin Kadir, Azizi Mat Rose serta Nazaruddin Md. Zain.

Pengurus Singa Utara, Adzmi Saad berkata, dua awang hitam Zacharia Simukonda dan Phillimon Chipeta juga disambung kontrak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jAlQNxx6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan