Khamis, 1 Jun 2017

Perlis belum mahu senyum



ARKIB : 17/07/2005

KANGAR - Penyandang juara, Perlis masih belum mahu tersenyum walaupun berada dalam kelompok pasukan `kerdil' selepas diundi dalam Kumpulan A kempen Piala Malaysia musim ini, kelmarin.

Sebaliknya, Perlis yang juga juara Liga Super musim ini tetap memandang tinggi keupayaan PKNS, Terengganu dan Sabah yang mampu melakukan kejutan kali ini.

Justeru, pengurus pasukan, Adzmi Saad mengingatkan para pemain supaya tidak memandang rendah kemampuan lawan kerana pasukan lain pasti memasang azam untuk menafikan peluang Singa Utara.

Katanya, kekalahan kepada Kelantan dalam saingan Piala FA harus dijadikan pengajaran agar tidak memandang rendah pasukan lawan yang sentiasa mencari peluang mencantas pasukan di tangga teratas.

``Segala impian hanya tinggal impian jika Perlis tersilap langkah. Oleh itu, setiap pemain jangan terlalu yakin dan leka kerana setiap pasukan mahukan kemenangan serta memusnahkan Perlis dalam saingan kali ini,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Perlis memulakan kempen pertama Piala Malaysia bertemu Sabah di Stadium Likas pada 6 Ogos ini.

Jika mara ke suku akhir, Perlis bakal menerima ujian paling getir untuk mengekalkan gelaran dan dijadualkan bertemu pemenang antara Pahang atau Kedah dalam Kumpulan C, dua pasukan yang disifatkan turut berpeluang mara ke suku akhir.

Mengulas lanjut, Adzmi berkata, bagi memantapkan lagi barisan pemain untuk berhadapan dengan Piala Malaysia musim ini, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengintai peluang untuk mendapatkan pemain berkaliber daripada pasukan lain untuk diserap ke dalam skuad Singa Utara.

Antara pemain yang dalam perhatian adalah dari Johor dan Public Bank.

``Kita sedang berusaha untuk mendapatkan dua pemain luar iaitu pemain pertahanan Public Bank dan pemain tengah Johor yang tidak disenaraikan dalam menghadapi Piala Malaysia,'' jelasnya.

Ditanya kemungkinan pemain sayap kanan, Mohd. Ivan Yusoff yang cedera digugurkan, Adzmi berkata, ia bergantung kepada tahap kecergasan pemain itu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ijobSmAD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan