Jumaat, 2 Jun 2017

Singa Utara kukuhkan cengkaman



 
ARKIB : 21/08/2005
PEMAIN Telekom, Milos Kolakovic (kiri) cuba menghalang serangan Abd Aziz Ismail, pemain Pulau Pinang sambil diperhatikan rakan Mohd Badrul Azam(kanan) pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Hang Tuah Melaka semalam. Telekom tewas 1-3.

KUALA LUMPUR - Philimon Chepita muncul hero menjaringkan dua gol untuk membantu Perlis menewaskan Sabah 2-0 dalam perlawanan bola sepak Piala Malaysia Kumpulan A di Stadium Utama, Kangar, semalam.

Kemenangan yang sudah dijangkakan itu memastikan Perlis memungut sembilan mata daripada tiga perlawanan tidak termasuk pertemuan dengan Terengganu yang ditangguhkan akibat jerebu pada 14 Ogos lalu.

Gol pertama Perlis ditanduk masuk oleh Philimon Chepita pada minit ke-59 selepas menerima lontaran jauh daripada Adrien Jurad Chamrong.

Skuad Singa Utara menambah gol kedua pada minit ke-88 menerusi tandukan Chepita selepas mendapat hantaran daripada Yusri Che Lah.

Di Stadium Petaling Jaya, PKNS sekali lagi beraksi cemerlang untuk ke suku akhir selepas membuat kejutan menewaskan Terengganu 3-1.

PKNS kini merampas kedudukan tangga kedua daripada Terengganu dan memungut tujuh mata.

Dalam perlawanan Kumpulan B Stadium Hang Tuah, Pulau Pinang berjaya menebus kekalahan pertama apabila bertindak cemerlang menewaskan Telekom 3-1.

Pulau Pinang membuka jaringan pertama menerusi Viatcheslav Melnikov (m-68) dan melalui Rosli Azizan (m-80).

Telekom merapatkan jurang menerusi jaringan Khairul Zalazmi pada minit ke-89 dan pelawat menambah gol ketiga menerusi Dudu Mecpherlin pada minit ke-90.

Dalam perlawanan Kumpulan C, Pahang menebus kehampaan tewas mengejut kepada MPPJ apabila bertindak cemerlang menewaskan Johor FC 4-0 di Stadium Jcorp, Pasir Gudang.

Di Stadium Darul Aman, Kedah terpaksa akur dengan kehebatan lawan apabila sekadar seri 2-2 ketika bertemu MPPJ.

Keputusan seri itu tidak mengubah kedudukan Kedah kekal di tangga teratas kumpulan.

Dalam perlawanan Kumpulan D, Perak merampas kedudukan tangga teratas apabila menewaskan Public Bank 4-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Kemenangan itu memastikan Perak memungut sembilan mata untuk memintas Selangor yang seri 1-1 dengan MK Land.

Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal mencuri tiga mata penuh apabila hanya mampu seri 1-1 ketika bertemu MK Land.

Selangor kini menduduki tangga kedua diikuti oleh MK Land dan Public Bank.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4irwM91BG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan