Selasa, 6 Jun 2017

`Perlis cuba musnahkan saya'



 
ARKIB : 11/11/2005

Oleh AMRAN MULUP
BEKAS penyerang Perlis, Yusri Che Lah menunjukkan salinan surat yang dihantar kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Dua tonggak utama Perlis, Yusri Che Lah dan Mohd Kaironnisam Shahabuddin Hussain kecewa dengan sikap Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kerana menetapkan bayaran pampasan antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk memberi pelepasan kepada mereka menyertai MPPJ bagi musim 2005/2006.

Yusri menyifatkan tuntutan bayaran pampasan PFA yang ditetapkan sebanyak RM100,000 kepada MPPJ seolah-olah mahu menamatkan kariernya dalam sukan bola sepak.

Nasib serupa turut menimpa tonggak pertahanan kental Kaironnisam apabila PFA menetapkan bayaran pampasan sebanyak RM300,000 untuk melepaskan pemain itu berhijrah ke MPPJ.

``Syarat ini sudah tentu menjadi penghalang besar kepada saya dan Kaironnisam untuk berhijrah kepada pasukan lain.

``Saya benar-benar kecewa dengan sikap tidak profesional PFA seolah-olah ingin membunuh karier bola sepak saya,'' ujarnya ketika ditemui Sukan Utusan di sini, semalam.

Yusri berkata, PFA sepatutnya lebih bersikap profesional sebagaimana mereka melepaskan Mohd. Khairi Zainuddin dan Es Lizuan Zahid mewakili pasukan lain tanpa sebarang syarat utama.

Yusri menegaskan dia telah menolak tawaran melanjutkan kontrak mewakili skuad Singa Utara bagi musim 2006 menerusi surat daripada PFA bertarikh 2 Oktober lalu.

``Saya telah menyatakan hasrat menolak tawaran PFA dan memaklumkan hasrat saya berhijrah ke pasukan lain bagi musim 2006,'' ujarnya.

Dia menambah, hasrat itu telah dinyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 27 Oktober lalu dan telah diberikan kepada Naib Presiden PFA, Adzmi Saad.

Apa yang cukup mengecewakan kata Yusri, PFA tidak memberikan sebarang jawapan.

Menurutnya, keengganan Perlis memberi pelepasan tanpa syarat akan meletakkan kedudukannya dalam keadaan terumbang-ambing dan boleh menghancurkan masa depannya dalam bola sepak.

Sehubungan itu katanya, dia telah menghantar surat kepada Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan kemelut yang dialaminya.

``Saya minta FAM campur tangan untuk mengkaji dan mengesahkan kedudukan saya bahawa keputusan yang telah saya ambil untuk tidak menyambung kontrak dengan PFA tidak melanggar sebarang peraturan.

``Dan tuntutan pampasan RM100,000 oleh PFA untuk melepaskan saya adalah tidak berasas,'' katanya lagi.

Selain itu, Yusri cukup kecewa apabila PFA hanya membayar separuh gaji bagi bulan September dan Oktober yang diterima semalam.

``Saya hairan mengapa saya dan Kaironnisam sahaja dibayar gaji separuh bulan sedangkan pemain lain menerima gaji penuh,'' ujarnya.

Dia menegaskan tindakan PFA itu jelas telah melanggar kontrak seperti yang termaktub dalam Perkara 2 Kontrak Pemain Bola Sepak.

Dia menjelaskan PFA tidak sepatutnya membayar separuh gaji bagi bulan Oktober kerana dia beraksi sepanjang 90 minit dalam perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Oktober lalu.

Selain itu dia menjelaskan, selepas perlawanan akhir Piala Malaysia semua pemain Perlis diberikan cuti daripada 2 hingga 24 Oktober dan selepas itu kembali menjalani latihan daripada 25 hingga 30 Oktober.

``Cuma saya tidak menjalani latihan sejak dua hari lepas kerana saya sudah menyatakan hasrat menolak tawaran daripada PFA,'' ujarnya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jEZManxy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan