Sabtu, 3 Jun 2017

Perlis selesa, Selangor perit



 
Perlis selesa, Selangor perit
TONGGAK Selangor, Elie Aiboy melepasi halangan pemain Pulau Pinang, Nordin Khamis dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi. Selangor menang 2-1. - Gambar MOHD NOOR AMIN.

KUALA LUMPUR - Kecuali Telekom Melaka, semua pasukan tuan rumah mencatat kemenangan dalam aksi suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia dengan penyandang juara, Perlis menumbangkan Pahang 3-1 di Kangar.

Selangor mendapat bekalan tipis sebelum bertandang ke Kuantan untuk aksi suku akhir kedua selepas menang 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Shah Alam dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan bermain sepuluh orang terutama Red Giants yang kehilangan penjaga gol, Jamsari Sabian pada babak pertama.

Kedah menundukkan Terengganu 2-0 di Alor Setar manakala Telekom Melaka gagal bermain cemerlang di gelanggang sendiri apabila tumpas 1-0 kepada Perak di Melaka.

Pemain import Selangor dari Argentina, Brian Fuentes muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol Red Giants pada minit ke-13 dan 72.

Begitupun, Selangor kehilangan Jamsari pada penghujung babak pertama apabila dilayangkan kad merah kerana menampan bola dengan tangan di luar kotak penalti ketika cuba menghalang kemaraan Viatcheslav Melnikov.

Pasukan Dollah Salleh ketika itu mendahului 1-0 hasil tolakan Fuentes di tepi gawang Pulau Pinang daripada tendangan sudut D. Surendran.

Selangor kemudian terpaksa bermain sepuluh orang pada 20 minit pertama babak kedua yang membolehkan Pulau Pinang menyamakan kedudukan menerusi rembatan Dudu pada minit ke-56.

Begitupun, perlawanan kembali seimbang apabila pemain Pulau Pinang, V. Jaganathan dilayangkan kad kuning kedua dan terpaksa keluar padang kerana mengasari Mohd. Amri Yahyah.

Keadaan itu menaikkan kembali semangat Selangor yang terus memburu jaringan dan Stadium Shah Alam kembali gamat dengan sorakan penyokongnya apabila Fuentes menanduk masuk bola hantaran lintang P. Gunalan minit ke-72.

Di Stadium Utama di Kangar, Perlis mengekalkan rekod baik ke atas Pahang dan mendapat bekalan agak selesa sebelum aksi suku akhir kedua selepas menang 3-1 dengan semua gol dijaringkan pada babak pertama permainan.

Pemain Perlis, Philimon Chipeta menjaringkan dua gol pertama Perlis pada minit kesembilan dan 30 tetapi Teafore Bannet merapatkan kedudukan 2-1 untuk Pahang minit ke-40.

Begitupun sebelum waktu rehat, seorang lagi import Perlis, Joao Bandosh melebarkan jaringan 3-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan.

Di Stadium Darulaman, Alor Setar, pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menjaringkan kedua-dua gol Kedah yang menundukkan Terengganu 2-0 untuk memberi skuad Kenari bekalan agak selesa ke Kuala Terengganu.

Kit Kong menjaringkan gol pada setiap babak permainan dengan gol pertama minit ke-15 dan gol kedua minit ke-55.

Telekom Melaka yang mencipta sejarah layak ke suku akhir Piala Malaysia kali pertama, gagal mengekalkan rentak cemerlang itu apabila tumpas 1-0 kepada Perak dengan gol kemenangan Seladang dijaringkan oleh Keita Mandjou minit ke-11 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iwPHtz6Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan