Selasa, 6 Jun 2017

Yusri tidak `bijak' - Adzmi



ARKIB : 12/11/2005

KANGAR - Pertikaman lidah antara tonggak utama Perlis, Yusri Che Lah dan Mohd. Kaironnisam Shahabuddin Hussain dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) terus hangat apabila Naib Presiden persatuan itu, Adzmi Saad menganggap kedua-dua pemain itu `tidak cerdik' dalam soal jual beli pemain.

Menurut pengurus pasukan Singa Utara itu, tuntutan pampasan yang dibuat oleh PFA terhadap Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) merupakan amalan biasa dalam mana-mana pasukan termasuk kelab bola sepak antarabangsa.

``Janganlah tunjukkan sikap yang kurang bijak dalam soal ini apatah lagi sebagai pemain yang berpengalaman. Tidak ada siapa pun sebenarnya mahu musnahkan karier bola sepak mereka (Yusri dan Mohd. Kaironnisam).

``Soal tuntutan pampasan itu adalah antara PFA dengan MPPJ dan kita tidak minta sesen pun daripada Yusri,'' katanya kepada Utusan Sukan ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kekecewaan Yusri dan Mohd. Kaironnisam terhadap sikap PFA yang menetapkan bayaran pampasan antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk memberi pelepasan kepada mereka menyertai MPPJ bagi musim depan.

Menurut mereka, tuntutan pampasan itu seolah-olah mahu menamatkan kariernya dalam sukan bola sepak kerana dilihat sebagai penghalang untuk berhijrah.

Adzmi seterusnya menegaskan, kedua-dua pemain terbabit tidak sepatutnya menganggap tuntutan pampasan itu sebagai penghalang memandangkan mereka akan turut mendapat komisen daripada bayaran tersebut.

``Mereka akan menerima sebanyak 10 peratus daripada jumlah pampasan dan lebih tinggi bayaran pampasan, lebih tinggi pula yang bakal mereka terima,'' tegasnya.

Tuntutan pampasan itu juga, jelas beliau, dianggap wajar memandangkan PFA telah melabur dengan nilai yang tinggi sepanjang kedua-dua pemain terbabit berkhidmat dengan Perlis.

Isu Perlis cuba memusnahkan karier bola sepak Yusri dan Mohd. Kaironnisam tidak sepatutnya timbul apabila kedua-dua pemain itu diberikan peranan yang besar ketika menyarung jersi Singa Utara, ujarnya.

Menurut beliau, Yusri diberi peranan sebagai penyerang utama manakala Mohd. Kaironnisam pula dilantik sebagai ketua pasukan sekali gus melonjakkan nama mereka di persada bola sepak tanah air.

``Kita tidak akan semudah itu untuk melepaskan para pemain selepas kita menggilap bakat mereka dengan kos yang tinggi,'' tegasnya.

Adzmi menambah, tuntutan pampasan itu dibuat kepada MPPJ kerana kelab tersebut tidak pernah berunding dengan PFA untuk mendapatkan khidmat pemain Perlis.

``Mereka hantar surat supaya kita melepaskan mereka dan sebagai jawapan mudah, kita tuntut pampasan daripada kelab itu,'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jEnEGQSf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan