Khamis, 8 Disember 2016

Perlis, Brunei layak ke Piala Malaysia

ARKIB : 12/09/1999
PERLIS dan Brunei menempah tempat ke Piala Malaysia apabila masing-masing mengutip kemenangan yang dinanti-nantikan pada perlawanan bola sepak play-off kumpulan A, semalam.

Perlis mengaibkan tuan rumah, Kedah 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar manakala Brunei tetap mara sekalipun kalah dengan sepakan penalti 4-5 kepada Kelantan di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu. Tempoh permainan sebenar 90 minit di Kota Bharu menyaksikan Kelantan dan Brunei terikat tanpa jaringan.

Kedah yang juga bekas juara, cuma mampu mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia akibat kekalahan yang menghampakan penyokong mereka.

Jaringan pendahuluan tuan rumah oleh bekas pemain Olimpik 2000, Akmal Rizal Rakhli, musnah dengan gol lawan, masing-masing menerusi V. Yogeswaran pada minit ke-57 dan Rushamazi Hamid (71).

Namun begitu, Perlis lebih dulu tersentak dengan tandukan Akmal itu yang berpunca daripada umpanan tinggi Farouk Ismail.

Sayangnya Kedah lalai apabila Yogeswaran mencuri bola hasil kesilapan penjaga gol Amran Omar yang gagal menangkap kemas sepakan sudut Rozmin Musa. Rushamazi pula terus merobek luka Kedah hasil sepakan tinggi yang gagal dicapai Amran.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, tuan rumah memberikan petanda cerah untuk layak ke Piala Malaysia apabila membelasah Melaka 5-1 dalam perlawanan kumpulan B.

Sapian Wahid berjaya memanfaatkan bola muntah hasil hantaran Zulfakri Ashaari untuk gol pendahuluan Terengganu pada minit ke-32. Lima minit kemudian, Zulfakri sekali lagi mencipta hantaran silangnya membolehkan Sapian menanduk masuk.

Melaka yang ketinggalan 0-2 mengasak tuan rumah dan menepati sasaran menerusi Omar Hadi dengan sepakan volley ekoran sepakan percuma oleh V. Sivam.

Namun Anuar Jusoh dengan sepakan percuma menyumbat gol ketiga skuad Penyu walaupun tendangannya terkena badan seorang pemain Melaka pada minit 59.

Pada minit ke 60 pula, gol keempat Terengganu dijaringkan oleh Hairuddin Omar sebelum menambah gol keduanya hasil hantaran Sapian.

Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah mencerahkan peluangnya ke Piala Malaysia dengan menundukkan Johor FC 3-1 dalam satu lagi perlawanan kumpulan B.

Perak yang memerlukan tiga mata untuk mencerahkan peluangnya berusaha untuk mendapatkan gol tetapi tiada sebarang peluang baik tercipta kecuali percubaan tepat Azrul Amri Borhan pada minit ke-20.

Percubaan pertama hadir pada minit ke-46 melalui Lim Seng Kong melepasi palang gol dan serangan susulan Saravanan berjaya membawa gol Perak.

Khalid Jamlus turut mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-58 apabila hantaran Indra Putra Mahayuddin, dari sebelah kanan gawang lawan disudahkannya dengan tandukan gol.

Johor FC tetap meneruskan usaha menyekat Perak dan akhirnya, beroleh gol sagu hati pada minit ke-77 menerusi sepakan percuma oleh Md. Shahrul Ismail.

Pada minit ke-89, Saravanan memastikan kemenangan milik Perak apabila tandukannya tepat ke dalam gol selepas bola dari percubaan Khalid Jamlus ditampan oleh penjaga gol Johor FC.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SFsrOJ87 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan