ARKIB : 04/11/1999
KEMAMPUAN menyekat skuad
handalan bukan penamat aksi getir buat Perlis yang membayangkan dua lagi
saingan sengit sebelum melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia, lapor ZAINU'L
AZHAR ASH'ARI.
Jurulatih Tajuddin Nor
memberitahu, ini kerana pasukan lain turut mengintai peluang separuh akhir
kerana persaingan masih lagi terbuka.
''Kemenangan 1-0 ke atas Pulau
Pinang belum cukup, Perlis masih perlu bekerja keras kerana lawan bakal
dihadapi ialah Terengganu dan Perak,'' kata beliau sebaik tamat perlawanan di
antara skuad ''Singa Utara'' dan ''Harimau Kumbang'' di Stadium Bandaraya,
kelmarin.
Kemenangan Perlis menerusi
jaringan Shamsurin Abdul Rahman pada minit ke-79 meletakkan skuad ''Singa
Utara'' sebagai pendahulu kumpulan A dengan 15 mata.
Pertarungan dengan Terengganu
pasti sengit, apatah lagi Perlis masih terasa kehilangan pemain pertahanan,
Suhairi Abdul Karim yang mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, kata beliau,
barisan simpanannya seperti Sabri Abdul Rani dan M. Balan mampu menggalas tugas
untuk mengawal benteng Perlis kerana kedua-duanya berpengalaman.
Mengenai perlawanan kelmarin,
Tajuddin berkata, dia tidak menyangka Perlis yang menerima tekanan hebat di
gelanggang lawan mampu memperoleh jaringan.
''Paling tidak, saya ingatkan
permainan mendapatkan keputusan seri untuk penentuan sepakan penalti tetapi
itulah bola sepak, kadangkala pasukan yang kurang menyerang mampu mencipta
kemenangan,'' kata beliau.
Tajuddin memuji Shamsurin yang
menggunakan pengalamannya untuk memanfaatkan peluang menerusi jaringan minit
ke-79 sehingga menyukarkan lawan menyamakan kedudukan berdasarkan tempoh
terlalu singkat.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SaeAQHVh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan