ARKIB : 10/05/2000
GELANGGANG sendiri terus
membakar semangat Perlis untuk terus mencipta kemenangan apabila menewaskan
Terengganu 2-0 dalam perlawanan Perdana Satu di Stadium Utama, Kangar, semalam.
Kemenangan itu juga memastikan
kedudukan Perlis melonjak dari tempat ketujuh ke tangga ketiga Perdana Satu
selepas mengumpul jumlah keseluruhan 11 mata.
Ini adalah kemenangan ketiga
berturut-turut di gelanggang sendiri selepas menewaskan Sabah 2-1 dan Brunei
2-0 dalam perlawanan terdahulu.
Di hadapan penyokong setianya,
Perlis memperoleh jaringan menerusi Rozmin Musa pada minit ke-50 dan Manzoor
Azwira Abdul Wahid pada minit ke-73.
Seawal babak pertama agak
menyukarkan kedua-dua pasukan untuk mengatur gerakan kerana padang yang licin
akibat hujan lebat memaksa pemain terpaksa berhati-hati.
Tujuh belas minit berlangsung,
tidak ada sebarang percubaan menarik dapat dilakukan oleh tuan rumah dan
pasukan pelawat walaupun pemain masing-masing berjaya membuat hantaran tetapi
bola seringkali tersekat di dalam air yang bertakung.
Kegagalan mencari jaringan
dalam babak pertama menyaksikan Perlis bangkit memberikan saingan lebih sengit
kepada pasukan pelawat sehingga membuahkan hasil.
Dalam satu serangan pantas,
benteng pertahanan Terengganu melakukan kesilapan apabila sepakan seorang
daripada tonggaknya berjaya disambar pemain Perlis, Rozmin Musa yang terus
merembat masuk menewaskan penjaga gawang Zubir Ibrahim pada minit ke-50.
Bagi menambah lagi parah
Terengganu, G. Shammugam mengatur gerakan cantik apabila memastikan hantarannya
tidak disia- siakan oleh Manzoor Azwira Abdul Wahid yang menyepak masuk
jaringan minit ke-73.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TSrab9eh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan