ARKIB : 11/11/1999
PEMAIN Perlis, Rozmin Musa
dikawal rapi oleh barisan pertahanan Terengganu pada perlawanan bola sepak
Piala Malaysia di Kangar kelmarin. Perlis tewas 0-2.
KESEMPATAN di gelanggang
sendiri sudah berakhir, sebaliknya Perlis memilih untuk beraksi
''bermati-matian'' dalam saingan terakhir kumpulan A Piala Malaysia menentang
juara bertahan, Perak Sabtu ini.
Jurulatih Tajuddin Nor berkata,
kemenangan perlu dicari ke atas Perak sekiranya Perlis ingin melangkah ke
perlawanan separuh akhir Piala Malaysia selepas tewas 0-2 kepada Terengganu di
Stadium Utama, Kangar, kelmarin.
''Kekalahan kepada Terengganu
memaksa kita untuk berkunjung ke Perak dengan aksi lebih meyakinkan supaya
hajat ke separuh akhir Piala Malaysia tercapai,'' kata beliau selepas berakhir
perlawanan di antara pasukan bimbingannya Perlis dengan skuad ''Penyu.''
Tajuddin berkata, Perlis yakin
dapat memberikan saingan sengit di Perak untuk mencari kemenangan berdasarkan
semangat pemain beraksi di gelanggang lawan sebelum ini.
''Rekod kita di gelanggang
lawan baik tetapi lebih penting ialah semangat tinggi daripada pemain untuk
menentang lawan seperti ditunjukkan perlu diteruskan bagi menjamin
kemenangan,'' kata beliau.
Perak yang kini mengumpul 13
mata memerlukan kemenangan untuk memintas Perlis di samping berharap pasukan
Negeri Simbilan yang berkunjung ke Pulau Pinang kalah di Stadium Bandaraya,
Sabtu ini.
Mengenai perlawanan kelmarin,
Tajuddin memberitahu, Perlis beraksi ''goyah'' dalam separuh masa pertama
terutama barisan pertahanannya sehingga membenarkan jaringan Terengganu oleh
Hairuddin Omar pada minit ke-24.
''Kesilapannya, tanpa tumpuan
penuh, hanya sedikit ruang yang diberikan kepada Hairuddin, menghasilkan jaringan
buat pasukan lawan.
''Jaringan diperoleh pula
menerusi tandukan ke penjuru gawang yang begitu sukar untuk penjaga gol
menyelamatkannya,'' kata beliau.
Bagaimanapun, kata beliau,
Perlis bangkit memberi tekanan kepada Terengganu pada babak kedua tetapi
barisan serangan gagal mencari penyudah yang diharapkan.
''Perlis mampu bangkit
memberikan saingan pada babak kedua, mendapat beberapa peluang tetapi apa boleh
buat, kita masih gagal mencuri peluang yang datang.
''Kemudian, jaringan kedua
pasukan Penyu pada minit-minit terakhir oleh Hairuddin menyentap hasrat Perlis
untuk menyamakan kedudukan kerana masa yang sudah begitu suntuk,'' tambah
beliau.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Sb90fdwq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan