Ahad, 11 Disember 2016

Singa Utara, Penyu cari kemenangan

ARKIB : 09/11/1999
TANGGA teratas belum tentu selamat, malah terdapat pasukan masih mengintai peluang untuk mencerahkan laluan ke separuh akhir Piala Malaysia berdasarkan perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Perlis yang menduduki tangga teratas kumpulan A selepas kiraan jaringan menyebelahinya setelah berkongsi 15 mata dengan penghuni tangga kedua Terengganu.

Bagaimanapun, malam ini mempertemukan kedua-dua pasukan itu yang pasti menyajikan aksi terbaik untuk mencipta kemenangan di Stadium Utama Kangar untuk mengelak kemungkinan dipintas penghuni tangga ketiga, Perak (13 mata).

Ini menjadi penyebab kenapa Perlis dan Terengganu terpaksa bersungguh-sungguh mengelakkan kekalahan khususnya dalam tempoh 90 minit permainan kerana kedudukan pasukan yang tewas menjadi bertambah ''parah'' sekiranya Perak berjaya mengutip mata penuh ke atas Negeri Sembilan.

Bagi Perlis, kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang menerusi jaringan pemain berpengalaman Shamsurin Abdul Rahman bakal menjadi pendorong ''Singa Utara'' untuk terus mengaum di gelanggang sendiri.

Perlis sudah membuktikan, tanpa tonggak Suhairi Abdul Karim kerana dibelenggu kecederaan barisan pemainnya masih berupaya membenamkan ''Harimau Kumbang'' yang dibarisi tonggak seperti Azman Adnan di tempat lawan, apatah lagi apabila menghadapi Terengganu di gelanggang sendiri.

Namun, hajat tersebut bukannya mudah, ''Penyu'' pasti tidak mahu menangis lagi selepas kekalahan 1-2 kepada Perak, kerana tewas kali ini bagaikan ''bernafas di dalam lumpur'' - sesak atau mungkin berkubur segala impian.

Di sebalik masalah yang harus diselesaikan oleh kedua-dua pasukan, Perak tetap ghairah memburu kemenangan tetapi hajat tersebut turut dikongsi Negeri Sembilan, penghuni tangga keempat (11 mata) bagi membuka laluan.

Sementara, aksi Selangor menentang Pulau Pinang di Stadium Shah Alam kurang menarik tumpuan sebagaimana pertemuan dua pasukan tangga terbawah kumpulan B, Sabah (9 mata) dengan Kuala Lumpur (8 mata) di Stadium Likas.

Sebaliknya, tumpuan kumpulan B beralih kepada pertarungan merebut tempat ke separuh akhir Piala Malaysia di antara Brunei, Sarawak dan Pahang.

Pendahulu tangga kumpulan tersebut, Brunei (17 mata) yang dikatakan menjejak ''sebelah kaki'' ke separuh akhir Piala Malaysia, inginkan kemenangan buat mengesahkan laluannya sekalipun berdepan Johor di Stadium Larkin.

Sekiranya Brunei mencipta kemenangan, sudah pasti skuad negara minyak itu menjadi pasukan pertama layak ke separuh akhir tanpa perlu menunggu sehingga berakhir keseluruhan perlawanan Sabtu ini.

Berbanding jiran tetangganya itu, Sarawak di tempat kedua berdasarkan kelebihan jaringan dijangka bersaing sengit dengan ''Tok Gajah'' yang mengekori rapat di tangga ketiga selepas mempunyai persamaan 14 mata.

Seperti dua pasukan tangga teratas kumpulan B, saingan di antara skuad ''Bumi Kenyalang'' dengan Pahang di Stadium Sarawak turut menjadi tarikan ramai peminat bola sepak tanah air.

Pahang dengan reputasi juara Perdana Satu 1999 menyandarkan harapan kepada barisan pemain handalannya seperti Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi Ismail.

Begitu juga Sarawak, cukup mantap dengan barisan pemain lincah Ramles atau Ramos Sari dan tonggak berpengalaman seperti Mohd. Ali Shapiee dan Ibrahim Mantali masih mampu mencuri peluang.

Keghairahan pasukan yang kian terdesak memburu hajat dalam dua baki saingan Piala Malaysia ternyata menjadi alasan bagi peminat bola sepak tanah air menyaksikan perlawanan menarik malam ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SahXAEFD © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan